Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menerima penjelasan pembangun Muslim Pro, aplikasi mudah alih Islam, yang menafikan dakwaan mereka menjual data peribadi pengguna Islam kepada tentera Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan JPDP, Muslim Pro menjelaskan maklumat yan diberikan sebelum ini kepada X-Mode bukan data peribadi.
“Pihak Muslim Pro amat komited melindungi data peribadi penggunanya mengikut lunas undang-undang serta peraturan perlindungan data peribadi.
“Hingga kini, sebanyak 72 peratus pengguna applikasi Muslim Pro masih merupakan pengguna yang tidak berdaftar dan ini meningkatkan ketanpanamaan (anonymity) aplikasi tersebut,” demikian menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, jabatan itu menggesa pembangun aplikasi tersebut memastikan keselamatan data peribadi pengguna agar tidak disalah guna.
JPDP turut mengingatkan pengguna data agar mematuhi Prinsip Perlindungan Data Peribadi yang digariskan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
Sebelum ini dilaporkan aplikasi yang berpangkalan di Singapura itu menjual data peribadi pengguna Islam kepada tentera Amerika Syarikat bagi tujuan anti keganasan.
— BERNAMA