ALOR GAJAH, 19 Jan — Sesi persekolahan menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bakal bermula esok dan ia menimbulkan kerisauan Tok Batin Kampung Orang Asli Kubang Badak dan Tebong Stesyen di sini berikutan kekurangan kelengkapan dalam kalangan penduduk di kedua-dua kampung itu.
Besi Dulah, 39, berkata ketiadaan komputer, talian komunikasi dan jalur lebar berkelajuan tinggi menyukarkan anak-anak masyarakat Orang Asli untuk mengikuti pembelajaran di rumah masing-masing.
Katanya, yang ada hanyalah telefon pintar milik ibu bapa pelajar namun mereka adakalanya terpaksa berkongsi dengan rakan-rakan ketika ibu bapa keluar bekerja atau mencari hasil hutan.
“Rasa bimbang juga dengan persekolahan mereka kerana di sini sukar untuk mendapatkan komputer ataupun komputer riba. Malah, ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu atau memahami cara menggunakan komputer,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurutnya, terdapat 15 anak Orang Asli dari kawasan itu membabitkan lapan murid sekolah rendah dan tujuh murid sekolah menengah. Seramai 130 Orang Asli Suku Temuan tinggal di Kubang Badak dan Tebong Stesyen, kira-kira 30 kilometer (km) dari pekan Alor Gajah, iaitu antara kawasan pedalaman di Melaka.
Besi berkata meskipun terdapat kemudahan jalur lebar di Pusat Internet Kampung Kuala Sungga kira-kira empat kilometer dari perkampungannya, namun ada antara anak-anak Orang Asli masih malu untuk berjumpa dengan masyarakat luar.
Katanya, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas, terdapat beberapa kumpulan sukarelawan terdiri daripada guru berdedikasi mengadakan kelas tuisyen tidak formal dan percuma kepada anak-anak Orang Asli di Balai Raya Kampung Orang Asli Kubang Badak dua kali seminggu.
Bagaimanapun, katanya setakat ini pihaknya belum mendapat makluman sama ada masih terdapat kelas tuisyen secara percuma itu tahun ini atau sebaliknya, serta memohon kerajaan mengadakan kaedah pembelajaran bersesuaian bagi anak-anak Orang Asli.
Sementara itu, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Tebong Kartiaini Ramesh, 9, berkata dia sangat merindukan suasana persekolahan dan berharap dapat menjalani sesi persekolahan seperti biasa pada tahun ini.
“Rindu sangat pada cikgu dan kawan-kawan. Dah lama tidak pakai baju sekolah. Esok kena pinjam telefon emak atau kakak untuk terus belajar supaya jadi budak pandai dan dapat masuk ke universiti,” katanya.
Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula esok di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama 2020.
Berikutan itu, semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid mulai tarikh tersebut.
— BERNAMA