KUCHING, 13 Jan — Ekoran hujan berterusan sejak beberapa hari lepas di kawasan tadahan Sungai Sarawak Kiri, paras air di empangan Bengoh mencapai tahap maksimum iaitu 80 meter dan telah melimpah melalui alur limpah empangan.
Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata Lembaga Air Kuching (KWB) juga telah mengurangkan pelepasan air daripada injap empangan kepada kadar terendah iaitu 95 juta liter sehari (MLD).
“Oleh kerana air di dalam empangan itu mencapai tahap maksimum, tiada ruang untuk menampung hujan bagi mencegah banjir di hilir dan kerana itu, air curahan hujan di kawasan tadahan Bengoh akan dilepaskan melalui alur limpah empangan,” katanya mengenai status operasi Empangan Bengoh pada musim tengkujuh ini.
Pada masa yang sama, katanya, semua pintu empangan berhampiran Loji Rawatan Air Batu Kitang dibuka sepenuhnya untuk memudahkan kerja pelepasan air sungai.
Katanya, pelepasan air dari empangan tidak akan menyebabkan kejadian banjir di kampung-kampung berdekatan di hilir sungai termasuk – Kampung Bengoh, Kampung Danu, Kampung Semadang, Kampung Gian dan Kampung Git.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Khirudin Drahman menasihatkan pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung dan ketua masyarakat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung agar proaktif dalam memantau keadaan banjir di kampung dan rumah panjang masing-masing.
Katanya, mereka seharusnya menyediakan pelan inventori dan permindahan di kampung dan rumah panjang masing-masing serta memberikan keutamaan kepada golongan cacat dan warga emas yang tinggal bersendirian.
Beliau turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan sering dilanda banjir, agar berwaspada dan segera pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
— BERNAMA