JOHOR BAHRU, 1 Dis — Sudah 15 tahun menjadi penghuni Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Damo, Kluang, dua remaja adik beradik sudah terbiasa menyambut lebih daripada satu perayaan setiap tahun.
Sam Ah Fatt, 19, dan Sam Meng Kia, 17 berkata mereka dan ahli penghuni pusat jagaan yang lain menyambut tiga perayaan setiap tahun iaitu Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Hari Krismas.
“Setiap perayaan akan disambut dengan meriah terutamanya pada hari pertama perayaan di mana semua abang-abang dan adik-adik akan berkumpul dan makan bersama-sama,” kata Ah Fatt.
Walaupun tahun ini kebanyakan perayaan terpaksa diadakan selaras dengan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan wabak COVID-19, kemeriahan setiap perayaan masih dapat dirasai.
Tambah Ah Fatt, beliau menganggap seluruh penghuni pusat jagaan itu sebagai keluarganya yang besar selain saling membantu antara satu sama lain, belajar dan bermain bersama-sama serta meraikan semua perayaan yang disambut oleh pusat jagaan ini.
“Di sini saya ada dua orang abang dan 34 adik-adik yang berusia 6 sehingga 18 tahun. Setiap perayaan mesti akan meriah,” kata Ah Fatt yang bercita-cita menjadi seorang peguam hartanah satu hari nanti.
Kedua beradik ini ditemui ketika Program Sentuhan Kasih Deepavali oleh pihak PETRONAS yang turut menyampaikan sumbangan kepada penghuni pusat jagaan itu, hari ini.
“Kami sangat gembira dapat sumbangan. Terima kasih PETRONAS,” kata Ah Fatt yang juga menyimpan hasrat untuk mendapatkan tajaan PETRONAS bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Program Sentuhan Kasih dianjurkan sempena sambutan perayaan utama di Malaysia untuk memupuk semangat bekerjasama dengan komuniti tempatan dalam menyediakan keperluan asas demi kesejahteraan hidup mereka.