KUANTAN, 11 Mei — Pemantauan secara mengejut akan dilakukan pada bila-bila masa oleh pasukan pemantau bagi memastikan surau dan masjid di Pahang mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Dr Zulkifle Ali berkata kegagalan mematuhi SOP termasuk jumlah jemaah melebihi kapasiti dan aktiviti seperti berkumpul sebelum waktu boleh menyebabkan kebenaran menunaikan solat itu dibatalkan.
Katanya tindakan juga dikenakan terhadap mana-mana surau atau masjid serta jemaah yang didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan sehingga boleh menyebabkan berlakunya penularan disebabkan aktiviti sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Pihak surau dan masjid perlu mematuhi pekeliling dan arahan dari semasa ke semasa yang dikeluarkan oleh pihak JAIP dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, takbir pula hanya dibenarkan pada malam raya di surau dan masjid sehingga pukul 10 malam sahaja, manakala pada pagi raya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula 7.30 pagi.
Pada masa yang sama, katanya setiap jemaah hanya dibenarkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di kawasan kariah masing-masing dengan kehadiran jemaah ditentukan secara jemputan oleh pihak pentadbiran masjid dan surau.
“Jumlah jemaah adalah dihadkan seramai 50 orang sahaja di masjid, manakala 20 orang di surau dengan jemaah berumur 12 tahun ke bawah dan warga emas 75 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir. Solat sunat itu perlu diselesaikan pada 9.30 pagi,” katanya.
Zulkifle berkata imam dan khatib luar dari Pahang sama sekali tidak dibenarkan, begitu juga dengan jamuan selepas solat.
Bagi solat sunat Hari Raya Aidilfitri di rumah pula dibenarkan dalam kalangan seisi rumah sahaja, dan imam serta khatib bukan ahli keluarga tidak dibenarkan.
“Teks khutbah boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.mufti.pahang.gov.my,” katanya.
Selain itu, takbir raya dari rumah ke rumah, ziarah Hari Raya Aidilfitri dan kubur juga tidak dibenarkan.
— BERNAMA