KUCHING, 2 Feb — Dewan Baru Kampung Rimba Padi di Serian, satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak yang masih beroperasi di negeri ini ditutup kira-kira pukul 5.00 petang tadi selepas kesemua 49 mangsa banjir terakhir yang berada di sana dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.
Laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak petang ini menyatakan mangsa adalah daripada 18 keluarga yang telah dipindahkan ke situ sejak beberapa bahagian kampung berkenaan dinaiki air sejak Ahad lepas.
Gelombang kedua banjir di Sarawak bermula Sabtu lepas dan melanda Daerah Simunjan dan Serian di selatan negeri ini dan pada kemuncaknya mengakibatkan 186 orang mangsa dipindahkan di dua PPS.
Sementara itu, JPBN Sarawak turut memantau keadaan di Daerah Kapit di bahagian tengah negeri ini berikutan hujan lebat berterusan yang mengakibatkan paras air meningkat.
Bagaimanapun laporan terbaharu menyatakan sehingga kini belum ada keperluan untuk mengaktifkan PPS di kawasan terbabit.
— BERNAMA