KOTA KINABALU, 11 Mac — Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor hari ini mengarahkan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) untuk menerajui pembangunan di bahagian Sabah dalam projek pembangunan sempadan wilayah Malaysia-Indonesia.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah dan Pengerusi Sedia berkata projek itu membabitkan pembinaan jalan raya menghubungkan sempadan Serudong di Kalabakan Tawau ke Simanggaris di Indonesia setelah mendapat kelulusan kerajaan pusat terhadap cadangan Sabah untuk membina jalan raya ke Kalimantan.
Beliau berkata kelulusan projek berkenaan dimaklumkan kepadanya oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mustapa Mohamed melalui sidang video awal bulan ini.
“Membabitkan kos RM600 juta, projek itu termasuk pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di pintu masuk di Serudong atau Simanggaris untuk pemeriksaaan rentas sempadan.
“Kita perlu mengambil langkah tertentu dengan menjangkakan Indonesia akan memindahkan ibu negara dari Jakarta ke Kalimantan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah Sedia di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.
Pada mesyuarat berkenaan, Sedia turut meminta sokongan berhubung cadangan meningkatkan keupayaan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) sebelum diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri dan mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
Hajiji berkata peningkatan keupayaan SBCP adalah penting kerana ia akan membawa perubahan kepada perdagangan dan perniagaan di rantau ini terutama jika SBCP menjadi sebahagian daripada hab penghantaran di dunia.
Turut dibincangkan adalah mengenai keputusan Sawit Kinabalu Farm Product Sdn Bhd untuk menubuhkan Premium Kinabalu Beef dan kilang pengeluaran sarang burung di Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) di Kimanis.
Ketua Menteri itu berkata syarikat berkenaan, anak syarikat Sawit Kinabalu Group, akan melabur RM4 juta dalam SAIP yang dijangka mewujudkan 500 peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi khususnya dalam industri huluan.
Selepas mesyuarat berkenaan, Hajiji menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Sedia dan Sawit Kinabalu untuk membina kilang pengeluaran daging dan sarang burung dalam SAIP.
Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Bacho Jansie dan Ketua Pegawai Eksekutif Sedia Datuk Hashim Paijan menandatangani MoU berkenaan.
— BERNAMA