SINGAPURA, 21 Jan — Singapura telah mengenal pasti dua kluster tuberkulosis (TB), atau lebih dikenali sebagai penyakit batuk kering, membabitkan 18 individu yang sering berkunjung ke Pusat Pertaruhan Singapore Pools Bedok.
Kenyataan di laman sesawang Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu menyebut kedua-dua kluster telah dikesan menerusi penjujukan genetik dan penyelidikan epidemiologi yang dimuktamad pada Januari 2021, yang merupakan sebahagian daripada ujian retrospektif kes TB bagi menentukan perkaitan.
“Kesemua 18 kes telah didiagnosis antara Februari 2015 dan Oktober 2020,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOH, siasatan terhadap kes terbabit tidak menunjukkan sebarang perkaitan kecuali mereka sering berkunjung ke Pusat Pertaruhan itu dalam tempoh beberapa bulan atau tahun yang lepas dan menghabiskan masa yang lama di situ untuk menonton siaran langsung lumba kuda.
“Mereka tidak mengenali antara satu sama lain dan bukan kontak rapat,” katanya.
Menurut MOH, TB adalah satu endemik di republik itu dan bukan sesuatu yang asing dalam kalangan penduduk tempatan kerana ia telah merebak di Singapura sehingga tahun 1970-an dan generasi lebih berusia mungkin terdedah dan mendapat infeksi laten (jangkitan tak ketara atau terpendam) ketika mereka masih muda.
“Mereka yang mendapat infeksi laten tidak mengalami gejala TB dan tidak menularkannya,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan bahawa kesemua 18 kes sudah menerima rawatan segera selepas didiagnosis dan bukan merupakan risiko terhadap kesihatan awam yang berterusan ketika ini.
— BERNAMA