IPOH, 28 April — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Negeri Perak Darul Ridzuan 2021 di Masjid Sultan Idris Shah II di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Yusop Husin serta barisan exco kerajaan negeri.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, tahlil dan doa selamat diikuti bacaan doa berbuka puasa yang dihadiri lebih 300 jemaah.
Baginda turut berkenan menunaikan solat maghrib berjemaah sebelum berangkat ke majlis santapan di pekarangan masjid berkenaan.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan bantuan hari raya daripada dana zakat MAIPk berjumlah RM7.8 juta kepada penghulu-penghulu daerah di seluruh Perak untuk diagihkan kepada 31,296 penerima.