SANDAKAN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang hilang dalam insiden bot karam di perairan Sandakan, dilaporkan sedang dalam perjalanan bagi menjalankan tugas.
Koperal Asman Ongkal, 40, bertugas di Batalion 15 PGA Sandakan.
Pegawai Memerintah PGA Batalion 15 Sandakan, Superintendan Toipi Lamat berkata, sebelum kejadian, anggotanya itu sedang dalam perjalanan untuk bertugas dan ingin menghantar anaknya ke sekolah.
Menurutnya, sebaik bot mereka karam, Asman membantu menyelamatkan penumpang lain sebelum dilaporkan hilang.
“Asman belum ditemui dan kami turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang kini sedang giat dijalankan.
“Kami akan berusaha sedaya mungkin dalam mengesan Asman,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Harapan Toipi, anggotanya itu berjaya ditemui dengan selamat dan meminta semua pihak mendoakan operas SAR berjalan dengan baik.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, bot dinaiki Asman bersama 36 lagi penumpang dilaporkan karam.
Asman antara penumpang bot yang membawa 37 penumpang dari Kampung Tanjung Aru menuju ke Jeti Pasar Umum Sandakan.
BACA: Bot karam: Seorang anggota PGA hilang