PORT MORESBY: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Papua New Guinea (PNG) sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Ke-26 yang bermula esok.
Beliau yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jackson di sini pukul 9.20 malam waktu tempatan.
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Papua New Guinea, Charles Abel; Menteri Luar, Rimbink Pato dan Menteri APEC, Powes Parkop.
Mewakili Kerajaan Malaysia pula adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea, Mohamad Nasri Abdul Rahman.
Pada sidang kemuncak dua hari yang bermula pada Sabtu, Perdana Menteri bakal menggariskan komitmen dan kedudukan Malaysia dalam bekerjasama dengan ekonomi lain di rantau Asia Pasifik untuk mencapai Matlamat Bogor 2020 dan selepasnya.
Dr Mahathir pada masa sama juga dijangka menekankan harapan Malaysia berhubung APEC untuk membina komuniti Asia Pasifik ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang adil melalui kerjasama perdagangan dan ekonomi.