SEORANG wanita di Bristol, United Kingdom telah menyiarkan satu iklan jawatan kosong di sebuah laman web pencarian pekerjaan.
Namun apa yang menarik perhatian adalah jawatan yang ditawarkan, iaitu pembuat keputusan atau decision maker untuk dirinya.
Bayarannya? Sangat mewah iaitu 2,000 pound sterling atau RM10,562 setiap bulan!
Portal Mirror melaporkan wanita yang tidak mendedahkan identitinya itu sudah bosan apabila kerap dilanda masalah gara-gara tersalah membuat keputusan.
Antara nasib malang yang dialami sejak kebelakangan ini termasuklah kehilangan wang yang dipinjamkan kepada seorang sahabat, terkandas tanpa wang ketika melancong backpacking di New Zealand, ditipu bekas rakan kongsi dan dirompak sewaktu mengambil jalan pintas untuk pulang ke rumah.
“Nampaknya saya memang tidak mampu membuat keputusan yang betul, malah ibu saya juga selalu mengusik saya kerana hampir setiap minggu, ada sahaja malang yang menimpa.
“Saya sudah bosan dan saya perlukan seseorang untuk bantu saya membuat keputusan,” lapor portal berkenaan, memetik kenyataan yang dimuatnaiknya ke laman web bark.com.
Antara kriteria yang dicari wanita itu ialah seorang yang “beragama dan boleh membawa saya kembali ke jalan yang betul”, lapor portal itu lagi.