SKUAD badminton berpasukan lelaki Malaysia ditunjukkan jalan keluar oleh Jepun dalam saingan pusingan 16 Sukan Asia 2018 selepas tewas 3-0, pada Ahad.
Kekalahan itu bermakna Malaysia yang mengutip pingat gangsa, empat tahun lalu, gagal melayakkan diri ke suku akhir buat kali pertama dalam Sukan Asia sejak acara berpasukan lelaki diperkenalkan pada 1962.
Liew Daren, yang menjadi taruhan dalam perseorangan pertama, gagal menyaingi Kento Momota setelah tewas 13-21, 14-21, sekali gus menjadi kekalahan kedua buat pemain negara itu di tangan pemain nombor empat dunia berkenaan dalam bulan Ogos.
Sebelum ini, dia tunduk di tangan Momota sewaktu aksi separuh akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China.
Pasangan beregu negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, memberikan cabaran sengit kepada naib juara dunia, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, namun tetap akur dengan kehebatan wakil Jepun itu menerusi keputusan 18-21, 18-21, sebelum Kanta Tsuneyama melengkapkan kemenangan lawan susulan kejayaan menundukkan Lee Zii Jia 21-18, 21-17.
Pemenang Piala Thomas 2018 itu bakal berdepan sama ada Korea Selatan atau Thailand dalam aksi suku akhir.