Bahrain menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama bersama Malaysia bagi meningkatkan peluang perniagaan antarabangsa dengan menjadikan industri halal dan pengangkutan sebagai sasaran utama.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof, ketika mengadakan lawatan kerja ke Manama dan bertemu Perdana Menteri Bahrain, Putera Khalifa Salman Al Khalifa kelmarin berkata, perkara tersebut telah disuarakan pemimpin negara berkenaan dalam satu sesi perbincangan oleh wakil kedua-dua negara.
“Manama berhasrat menyertai kerjasama dengan Kuala Lumpur dalam membangunkan industri halal dunia,” katanya.
Tambah Redzuan, Perdana Menteri Bahrain juga berminat untuk menyambung semula peranan negaranya sebagai hab pasaran kereta nasional Malaysia ke negara-negara Teluk melalui platform perniagaan ke perniagaan (B2B).
“Pada masa sama, Manama mahu menerokai secara am peluang-peluang pelaburan di Malaysia.
“Bahrain juga berhasrat mengadakan penerbangan terus Gulf Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bahrain dan bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk destinasi-destinasi Gulf Air,” jelasnya.