GEORGE TOWN: Hujan berterusan sejak pagi tadi telah menyebabkan beberapa kawasan antaranya Bayan Lepas, Teluk Kumbar, Sungai Ara, Teluk Bahang dan Sungai Pinang di Balik Pulau, Pulau Pinang mengalami banjir kilat.
Hujan bermula pukul 8.30 pagi hingga 4 petang itu telah menyebabkan puluhan rumah di kawasan itu mengalami banjir kilat dan dinaiki air antara 0.3 meter(m) hingga 0.6m.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata pihaknya menerima beberapa panggilan memaklumkan berlaku banjir kilat bermula pukul 3.30 petang dan pihak bomba mengambil tindakan segera dengan membuat pemantauan secara rapi bagi menyelamatkan mangsa banjir.
“Banjir kilat itu dipercayai berlaku selepas hujan lebat sejak pagi tadi dan beberapa jalan raya di George Town juga dinaiki air sehingga berlaku kesesakan lalu lintas.
Namun keadaan masih terkawal dan setakat pukul 6.30 petang tiada mangsa yang dipindahkan, pihak bomba sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan terutama banjir jika hujan masih berterusan malam ini hingga esok,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Saadon berkata selain itu, hujan lebat turut menyebabkan berlaku fenomena kepala air di kawasan rekreasi Air Terjun Titi Kerawang di Teluk Bahang dan ia menjadi tular di media sosial.
Katanya namun tiada kemalangan jiwa atau mangsa terlibat dalam kejadian kepala air itu kerana semasa insiden tersebut tiada pengunjung di air terjun berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Ibu bapa juga perlu mengawasi anak-anak mereka agar tidak bermain air banjir,”katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata sehingga pukul 7 malam, 33 mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Surau Haji Hashim di Bukit Kecil, Sungai Pinang di Balik Pulau.”Mereka yang dipindahkan terdiri daripada sembilan keluarga membabitkan 15 lelaki dan 13 wanita serta empat kanak-kanak termasuk kanak-kanak perempuan. Rumah mangsa dinaiki air sehingga paras pinggangdan ia berbahaya kepada mereka,” katanya.
Seorang mangsa banjir, Rohayu Hussin, 35, berkata rumahnya di Bayan Lepas turut dinaiki air hingga paras lutut selepas hujan lebat di kawasan kediaman mereka sejak pagi tadi.
“Saya tengah bekerja di kantin sebuah kilang di Bayan Lepas dan kira-kira pukul 3, jiran hubungi bagitahu rumah sudah dinaiki air…saya terus balik dan semasa itu tiada sesiapa di rumah kerana suami juga bekerja manakala anak belum balik sekolah.
“Air sudah paras lutut waktu itu dan beberapa barangan elektrik seperti mesin basuh dan peti ais serta perabot telah terendam dalam air banjir,” katanya.
— BERNAMA