Untuk pengetahuan anda, 13 Oktober pada setiap tahun adalah Hari Pengurangan Bencana Alam Sedunia yang mungkin ramai belum tahu tentangnya.
Hari ini diwujudkan bertujuan memupuk kesedaran dalam diri penduduk dunia akan kepentingan mempunyai pengetahuan tentang bencana alam ini.
Ini kerana malapetaka alam yang mungkin menimpa bukan sahaja akan menggoncang kewangan dan kediaman malahan juga kesihatan para penduduk.
Jom sama-sama kita semua ikuti artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut lagi mengenainya!
Malaysia & malapetaka alam
Seharusnya kita selalu mengucapkan syukur kerana dilahirkan dan ditempatkan sebagai penduduk negara Malaysia yang aman sejahtera.
Ini kerana negara kita adalah antara negara yang kurang terjadi tragedi malapetaka alam seperti mana negara-negara jiran kita yang lain.
Ambil contoh negara jiran kita Indonesia yang terkenal dengan gunung berapinya, sementara kita langsung tidak mempunyai gunung seperti itu.
Pun begitu, ia bukanlah bermakna Malaysia langsung terkecuali dari sebarang bencana alam kerana masih wujud risiko yang agak tinggi.
Antara bencana alam yang sering terjadi di negara kita termasuklah:
- Tanah runtuh
- Gempa bumi
- Puting beliung
- Banjir
Dipengaruhi oleh faktor kedudukan negara kita yang berada di atas garisan khatulistiwa, bencana banjir pasti akan menimpa setiap tahun.
Ini terutamanya akan berlaku buat negeri yang terletak di bahagian pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta beberapa tempat lain.
Walaupun tidaklah begitu teruk, kita masih perlu berwaspada dengan bencana seperti ini setiap masa ya?
Bahaya bencana alam semula jadi
Tidak dinafikan, tiada apa yang boleh kita semua lakukan dalam usaha mengekang malapetaka alam ini berlaku kerana ia adalah lumrah alam semula jadi.
Setiap tahun, jutaan manusia akan mengalami kesan buruk akibat bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, puting beliung dan gempa bumi.
Mereka mungkin akan kehilangan sumber kewangan serta kediaman yang sekali gus menjejaskan kehidupan individu secara total.
Bahaya bencana alam ini adalah ia boleh berlaku secara tiba-tiba sahaja tanpa diduga oleh minda cerdik manusia.
Contohnya tragedi tsunami di Acheh, Indonesia pada tahun 2004 yang berlaku tanpa sebarang petanda jelas.
Akibatnya, aspek kewangan, kediaman dan kesihatan individu semua telah terjejas malah menyebabkan kematian secara langsung atau tidak langsung.
Bencana alam buatan manusia
Jangan hanya menyalahkan alam semesta sahaja kerana ketahuilah bahawa malapetaka yang berlaku di bumi ini juga mungkin disebabkan oleh diri kita sendiri.
Sikap kita yang acuh tidak acuh dalam banyak perkara seperti membuang sampah merata-rata ke dalam sungai atau parit akan menyebabkan sistem longkang terjejas.
Akibatnya, kejadian banjir akan berlaku tanpa kita sedari sebab dan risikonya.
Disebabkan itu, bertanggungjawablah pada diri sendiri dan masyarakat dengan tidak melakukan sebarang perkara yang tanpa sedar boleh mendorong kejadian bala.
Tepuk dada dan tanya selera ya?
Kesihatan juga akan terjejas
Setiap kali berlaku malapetaka alam seperti yang kami nyatakan di atas, pelbagai aspek kehidupan akan terjejas antaranya kewangan dan kediaman.
Namun mungkin ramai yang kurang cakna mengenai satu lagi aspek terpenting dalam kehidupan kita iaitu kesihatan tubuh badan semasa bencana alam.
Isu kesihatan awam ketika kejadian malapetaka awam adalah amat penting kerana tanpa pengetahuan mengenainya, sudah pasti tubuh badan akan terjejas.
Bekalan makanan & minuman
Antara isu kesihatan awam yang paling perlu dibicarakan ketika bala menimpa adalah bekalan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal.
Ketika bencana berlaku, stok makanan dan minuman pasti akan menjadi terhad serta kurang bersih menjadikannya kurang berkhasiat untuk diambil.
Bekalan air kegunaan seharian
Begitu juga dengan bekalan air untuk mandi atau minum yang sudah pasti akan terjejas terutamanya jika berlaku kejadian alam seperti banjir.
Dalam pada itu, air yang bertakung ketika banjir ini juga berisiko membiakkan dan menempatkan nyamuk pembawa penyakit seperti aedes.
Bekalan ubatan berkurangan
Kejadian bencana sudah pasti akan merosakkan infrastruktur seperti jalan raya dan pengangkutan yang sekali gus akan mengehadkan pergerakan kita.
Ekoran itu, kita semua mungkin terpaksa hidup dengan bekalan ubatan yang tidak mencukupi kerana tiada jalan untuk bergerak secara bebas lagi.
Trauma mental dan fizikal
Apa yang paling menakutkan jika berlaku sebarang malapetaka awam seperti yang kami nyatakan di atas tadi adalah tentu sekali trauma mental dan fizikal.
Pada aspek fizikal, anda mungkin akan mengalami kecederaan sama ada ringan atau teruk akibat terperangkap di tempat kejadian.
Pada aspek mental, anda mungkin pula mengalami episod gangguan seperti stres, kegelisahan dan kemurungan akibat kejadian.
Konklusinya, tolong jangan sesekali beranggapan bahawa bencana alam hanya akan menjejaskan aspek kehidupan lain selain kesihatan ya?
Sila jaga diri, keluarga, sahabat dan masyarakat setempat sekiranya berlaku sebarang malapetaka awam demi kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera!