KUALA LUMPUR: Seluruh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didesak dan dirayu agar pemimpin-pemimpin atasan parti berkenaan kembali berdamai dan bersatu.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, pemimpin atasan Bersatu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu bersemuka dan menyelesaikan konflik yang tercetus.
Ini kerana, ketiga-tiga pemimpin itu merupakan tulang belakang di sebalik penubuhan Bersatu.
Justeru, kata Wan Saiful, adalah penting untuk pemimpin tertinggi menyelesaikan segala kemelut dengan semangat sebuah keluarga.
“Parti kita terbina atas kekuatan tiga tokoh utama iaitu Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Dato Seri Utama Mukhriz.
“Saya harap kita berhentilah mengeluarkan kenyataan atau menganjurkan majlis yang tidak membawa perdamaian.
“Tak perlulah pergi ke media tempatan atau antarabangsa untuk meruntuhkan parti. Kita selesaikanlah secara dalaman dengan semangat satu keluarga,” kata Wan Saiful dalam kenyataan yang diedarkan pada Ahad.
Sehubungan itu, dalam keadaan sekarang, menganjurkan majlis solat hajat dan munajat mendoakan penyatuan kembali pemimpin kita adalah lebih baik.
Menurut Wan Saiful, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri dalam pertemuan dengan pemimpin Bersatu di Seri Perdana, Putrajaya pada Jumaat lalu memaklumkan, beliau sedang mengatur pertemuan dengan Dr Mahathir.
“Beliau juga telah menghantar surat kepada Tun Mahathir memohon untuk bertemu.
“Hanya menunggu tarikh dari Tun Mahathir sahaja. Kita doakan agar Tun Mahathir sudi bertemu secepat mungkin,” kata Wan Saiful lagi.
Kemelut antara Dr Mahathir dan Muhyiddin tercetus selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Susulan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin dicalonkan oleh Bersatu untuk menggantikan beliau.
Ekoran itu, parti Bersatu terbahagi kepada dua kem sekali gus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan rakyat dan pemerhati politik.
Berbeza dengan Dr Mahathir yang menolak dengan tegas untuk bekerjasama dengan pemimipin UMNO mentadbir negara, Muhyiddin pula memilih jalan menubuhkan gagasan Perikatan Nasional dan bekerjasama dengan parti yang pernah tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Kerana itu juga, hubungan Dr Mahathir dan Muhyiddin terjejas.