PASIR MAS: Sebuah bilik asrama di Maahad Tahfiz Repek, Pasir Mas, di sini, hangus terbakar dalam kejadian pada jam 2.30 petang Ahad.
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas, Adnan Muhammad Juri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.43 petang dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
Katanya, tiada kemalangan jiwa yang berlaku kerana tiada penghuni di dalam bilik asrama berkenaan kerana pada ketika itu.
Jelasnya, pada masa itu kesemua mereka sedang menunaikan solat Zuhur berjemaah di madrasah.
“Bagi memadamkan kebakaran, seramai 12 anggota terlibat dalam operasi pemadaman membabitkan BBP Pasir Mas dan Rantau Panjang.
“(Susulan) tindakan pantas anggota, kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke bilik asrama yang lain. Api dapat dikawal sepenuhnya antara 5 hingga 10 minit,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Katanya lagi, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.