GEORGE TOWN: Kerajaan sudah menerima beberapa cadangan untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah sebagai sebuah lapangan terbang kargo.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi , Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ketika ini perkara itu sedang diteliti oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk pertimbangan kementerian berkenaan.
Jelasnya, pembinaan KXP itu kelak akan membawa kebaikan jangka panjang seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi kepada negeri di Wilayah Utara dan juga Selatan Thailand.
“Kita telah menerima beberapa cadangan untuk membangunkan Kulim Airport dan cadangan ini sedang diteliti oleh agensi Northern Corridor yang diketuai oleh Datuk Seri Singam dan perkara ini akan dipertimbangkan kementerian.
“Kita mengambil maklum bahawa keperluan lapangan terbang ini baik untuk jangka panjang, baik untuk negara dan Pulau Pinang, Kedah dan Perak dan lihat sebagai contoh banyak aktiviti ekonomi diantara selatan Thailand melalui Pulau Pinang dan sudah tentu kapasiti ini pada satu masa nanti ia akan memerlukan kerja-kerja penaiktarafan, pembesaran sama ada Pelabuhan Pulau Pinang atau Lapangan Terbang,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Kunci Casa Anggun di Sungai Nibong di sini hari ini.
Mohamed Azmin berkata, kewujudan KXP akan menjadi pelengkap kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ( LTAPP) dalam usaha menarik lebih banyak pelabur ke negara ini khususnya kepada negeri di Wilayah Utara.
Menurutnya, Pulau Pinang mempunyai kekuatan tersendiri apabila mempunyai LTAPP selain pelabuhan yang dimiliki negeri itu.
Bagaimanapun katanya, kapasiti LTAPP kini berada di tahap maksimum dan beberapa perkara perlu dipertimbangkan sekiranya pembesaran LTAPP mahu dilakukan.
Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan bantahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung pembinaan KXP, Mohamed Azmin bagaimanapun menyifatkan perkara tersebut adalah satu bentuk perbincangan yang sudah pun diperhalusi.
Sebelum ini Kerajaan Pusat meluluskan cadangan pembinaan projek KXP membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.