COCO MARTIN adalah orang Filipina biasa. Dari segi sosoknya, beliau adalah rendah daripada apa yang anda sangkakan.
Wajahnya sangat redup dan tenang, ramping dan kacak selain tidak lekang dengan senyuman.
Sebaik bertemu dengannya, beliau sangat ramah seakan-akan sudah lama saling mengenali.
Beliau mungkin juga boleh jadi seorang mekanik atau petugas hospital yang baik hati, atau barangkali seorang pekerja warga asing.
Latar belakangnya sukar untuk dikategorikan. Biasa, tetapi seorang yang boleh dipercayai.
Sementara itu, Filipina sudah masuk ke penggal ketiga pentadbiran Presiden Duterte dan dengan pilihan raya separuh penggal yang semakin hampir – termasuk persaingan penting kerusi senator.
Republik itu juga berhadapan dengan kemungkinan masa depan legasi Duterte apabila anak perempuannya, yang kini Datuk Bandar Davao, Sara Duterte, mengatur senarai calon-calonnya sendiri sementara mengetepikan keperluan untuk ‘menyatakan kebenaran’ dalam kehidupan awam.
Kini berusia 37 tahun, Coco adalah bintang utama dalam program bersiri televisyen terbesar Filipina, ‘Ang Probinsyano’ (Orang dari Wilayah).
Menurut Kantar Media, pada Februari saja, program di stesen ABS-CBN yang berlangsung lama itu mempunyai rating 41 peratus di seluruh negara — satu tahap penembusan amat tinggi di negara berpenduduk 105 juta yang obses pada selebriti itu.
Apabila siri itu (Coco adalah juga perunding kreatif dan adakalanya pengarah) mula dilancarkan sejak 2015 lalu, ia segera mendapat sambutan hangat.
Bagaimanapun, dalam tahun 2016, ketika Duterte mula menjadi Presiden dan mengenakan pendekatan ‘macho’ beliau dalam memerintah negara, program bersiri itu mengubah gear, sebagai respons kepada realiti masa kini.
Malah watak yang dibawakan Coco Martin iaitu Ricardo (atau “Cardo”) Dalisay — seorang polis yang tegas dan kalis rasuah — dengan segera menjadi perhatian semua orang Filipina, sekali gus mengukuhkan semula populariti dan tarikan komersial beliau.
Kesemuanya kelihatannya mendatangkan hasil: ‘Ang Probinsyano’ setakat ini telah bersiaran selama enam musim dan sebanyak 898 episod.
Watak Cardo adalah berani, mulia dan mengutamakan keluarganya. Malah, adalah sukar — kalau tidak pun mustahil — untuk mengasingkan Cardo daripada Coco, seorang bintang.
Di Filipina, pelakon-pelakon (cuba perhatikan Joseph Estrada) dalam kehidupan awam pada akhirnya merupakan gabungan peranan yang paling menyerlah yang pernah dibawakan mereka.
Tambahan pula, pada ketika mood seluruh negara sedang dirundung hal kekerasan dan kekotoran, gabungan Cardo/Coco terlihat lebih menyerlah.
“Ang Probinsyano” adalah hiburan hebat – aksinya bergerak dalam rentak pantas, jalan ceritanya kaya emosi, lengkap dengan cinta dan pengkhianatan.
Drama bersiri itu merentas masyarakat, dari golongan di kemuncak kuasa hinggalah kepada yang di lembah setinggan paling dalam di Tondo, dan di desa pedalaman yang terlalu miskin.
Tambahan pula, tema yang dirangkum menjadi bertambah kompleks, dengan menggambarkan ketegangan di negara itu — korupsi, dadah, perseteruan samseng dan wilayah-wilayah yang tiada undang-undang.
Dalam episod terbaru, watak ‘Presiden’ berang dan hilang kepercayaan terhadap pengatur kewangan yang sudah lama bersama dengan beliau. Watak itu, seorang wanita gempal dan kasar dalam berbicara, Lily, juga bertindak sebagai pengutip hutang si ‘Presiden’.
Bagaimanapun, ‘Presiden’ itu mengarahkan agar Lily dibunuh. Ia merupakan detik-detik televisyen yang amat mengganggu, setajam cerita “The Bridge” atau “House of Cards.”
Coco menjelaskan bagaimana beliau telah cuba memperkayakan garis plot dan perwatakan: “Saya mengambilnya dari pengalaman peribadi, dari mana saya membesar, dalam persekitaran Filipina dan perkara-perkara yang saya lihat melalui berita — saya menjadikannya semua kepada cerita-cerita untuk ‘Ang Probinsyano’.
Cara pelakon utama itu menggambarkan pasukan polis juga telah mengundang kritikan pihak berkuasa. Beliau menjelaskan: “Saya telah dipanggil banyak kali ke Camp Crame (ibu pejabat polis), dan telah ditanya ‘mengapa kamu memburukkan imej polis?’
“Saya menjelaskan pada mereka, ‘Mungkin kamu terlupa, watak saya adalah polis. Orang ini melalui kehidupan seharian seperti mana polis biasa mengalaminya. Ada polis boleh menjadi anggota yang baik atau sebaliknya. Saya memaparkan kedua-duanya dalam drama siri saya.”
Bagi seorang kanak-kanak lelaki dari kejiranan kelas pekerja seperti Novaliches di Quezon City, Coco (nama sebenarnya adalah Rodel Nacianceno) tidak pernah terfikir beliau dapat berjaya seperti yang dicapai sekarang ini.
“Ibu bapa saya telah berpisah dan saya menjadi seorang anak jalanan. Saya sentiasa terlibat dalam pergaduhan. Saya pernah bertanya pada diri saya mengapakah saya kerap berakhir dalam masalah? Bapa saya pernah selalu terjebak dengan pergaduhan. Dia menjadi bertambah ganas apabila mabuk, yang selalunya disertai dengan perbuatan mengacukan pistol,” imbas Coco.
Meskipun begitu, kebangkitan Coco daripada seorang yang tidak punya apa-apa bukan suatu yang istimewa. Filipina memang penuh dengan cerita seumpama itu.
Bagaimanapun, kerjanya dan malah pandangannya terhadap dunia telah dibentuk oleh dua individu hebat yang menjalani karier yang mungkin menjadi petunjuk masa depan Coco.
Yang pertama ialah pemenang Cannes Pale D’Or, Brillante Mendoza dan yang kedua ialah bintang filem dan bekas calon presiden, mendiang Fernando Poe Junior (“FPJ”, yang dikalahkan oleh Gloria Macapagal Arroyyo pada tahun 2004, yang kini dianggap sebagai pilihan raya yang penuh cela).
Coco telah membintangi tiga filem Mendoza yang bertema amat mencabar dan suram.
Setiap satunya lari dari kelaziman, tetapi tidak ada yang lebih hebat daripada filem ‘Kinatay’ yang dikeluarkan pada tahun 2009.
Dalam filem itu, Coco membawakan watak seorang pelajar kriminologi yang tinggal bersama keluarga, namun hidupnya terdesak dan memerlukan tambahan wang tunai. Watak itu akhirnya menjadi saksi kes penculikan, rogol, pembunuhan dan pengeratan jasad seorang pelacur.
Manila yang digambarkan oleh Mendoza adalah suatu yang gelap, terlarang dan tragis.
Bagi Coco, bekerja dengan Mendoza adalah suatu pembentukan diri: “Saya sedar bahawa ia tiada batasan dan saya terlibat dalam filem di mana saya perlu berikan segalanya yang ada pada diri saya.”
Dalam hal lain, ‘Ang Probinsyano’ adalah pembikinan semula filem klasik FPJ tahun 1997 yang berjudul sama.
“Saya mengidolakan FPJ sejak saya kanak-kanak lagi. Ketika membesar, saya menonton hampir kesemua filem FPJ,” ujar Coco.
Sudah tentu, apabila mula memikirkan untuk membuat cerita mengenai polis, ‘Ang Probinsyano’ versi FPJ menjadi pilihan jelas.
Malah, Susan Roces, iaitu balu FPJ berperanan sebagai nenek dalam siri itu dengan menjadi pasak emosi penting di tengah-tengah melodrama.
Tentunya, politik itu tidak jauh daripada aras tinggi dunia penyiaran Filipina dan Coco sendiri telah dilihat dalam acara kempen untuk anak perempuan FPJ, Senator Grace Poe.
Beliau berterus terang: “Saya menyokong beliau. Ini adalah budaya bagi orang Filipina. Kami adalah konservatif, kuat beragama dan mesra keluarga.”
Akhirnya, Coco mahukan ‘Ang Probinsyano’ memberi harapan kepada khalayaknya. “Berita-berita penuh dengan hal negatif – kematian, rogol dan dadah. Adakah mereka menunjukkan sesuatu yang positif? Itu adalah suatu yang langka.
“Dengan ‘Ang Probinsyano’, orang memperoleh harapan. Mereka percaya terdapat orang yang akan berjuang dan mengambil inisiatif untuk memperbaiki negara kami.
“Ia bukan semata-mata sifat mementingkan diri sendiri yang mendorong manusia, selain hakikat bahawa terdapat keadilan bagi mangsa.”
Maka ketika Coco meneruskan drama bersirinya — mengarang jalan cerita yang mengimbangi kebenaran dengan harapan, dan kenyataan dengan imaginasi — adalah menarik untuk melihat di mana pilihan kerjaya selanjutnya akan membawa dirinya.
Bakat dan wawasannya sebagai seorang pelakon adalah tidak diragui.
Adakah jalan yang diambil oleh wira sanjungan Hollywoodnya, Edward Norton dan Sean Penn mencukupi? Atau adakah jawatan di pejabat awam menjadi matlamat akhirnya?
Jawapan Coco adalah merendah diri tetapi nyata: “Orang Filipina adalah bangsa yang sering berikhtiar untuk hidup. Semua yang kami hadapi, kami mampu untuk selamat. Kami tumbang tetapi kami akan bangkit lagi. Begitulah realitinya.”