PUTRAJAYA: Malaysia mencatat lima kes terbaharu positif jangkitan penyakit coronavirus 2019 (COVID-19) seperti yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, lima kes terbaharu yang direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari Khamis menjadikan jumlah kumulatif positif wabak berkenaan ialah 55 kes.
Daripada 55 kes berkenaan, beliau berkata, seramai 22 orang daripada mereka yang dikenal pasti positif itu sudah pulih sepenuhnya dan telah discaj dari wad.
“Kesemua kes baharu ini berhubung kait dengan satu (1) kluster COVID-19 yang telah dikenal pasti sebelum ini yang melibatkan kes positif ke-26.
“Kes-kes ini merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 dalam kluster tersebut. Justeru, sehingga kini, jumlah kes positif bagi kluster ini adalah sebanyak 26 kes.
“Siasatan dan pengesanan kontak bagi kluster tersebut masih diteruskan,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media sebentar tadi.