SELEPAS 24 jam Pentadbiran Penerbangan Udara (Federal Aviation Administration – FAA Amerika) melucutkan pengiktirafan kawal-selia penerbangan awam negara, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Civil Aviation Authority of Malaysia – CAAM) muncul dalam sidang media memberi maklum balas.
Namun, maklum balas melalui satu sidang media pada jam 6 petang Selasa di Putrajaya yang dinanti-nantikan kurang membantu dalam usaha memahami punca sebenar perlucutan itu.
Melalui satu kenyataan, pengerusi CAAM Captain Ahmad Ridzwan Mohd Salleh menyatakan perlucutan itu berpunca dari penyemakan (review) yang dilakukan FAA pada bulan April lalu.
Penyemakan itu melibatkan lapan elemen bersangkutan system pengawalseliaan keselamatan penerbangan. Ini termasuk:
- Perundangan Penerbangan Asas (Primary Aviation Legislation)
- Peraturan Operasi Khusus (Specific Operating Regulations)
- Sistem Penerbangan Awam Negeri (State Civil Aviation System) dan Fungsi Kawal-selia Keselamatan (Safety Oversight Functions)
- Latihan dan Kelayakan Pekerja Teknikal (Technical Personnel Qualification and Training)
- Bimbingan Teknikal, Peralatan dan Penyediaan Maklumat Keselamatan Kritikal (Technical Guidance, Tools and the provision of Safety-Critical Information)
- Perlesenan, Pensijilan dan Kewajipan Kebenaran (Licensing, Certification, Authorizations and Approval Obligations
- Kebenaran Pengawasan (Surveillance Obligations)
- Penyelesaian Hal Kesalamatan (Resolution of Safety Concerns).
Menurut Kapten Ahmad Ridzwan, pihak CAAM bertindak segera apabila menerima teguran FAA sejurus selepas melalui proses audit itu pada April.
Pada bulan berikutnya, kebanyakan daripada teguran FAA itu telah diuruskan. Namun, pada pengamatan CAAM sendiri, beberapa daripadanya kurang jelas atau tidak dapat dipastikan.
Namun CAAM mengambil tindakan segera melibatkan kerja-kerja yang memakan masa untuk penyelesaian.
Tambahnya, CAAM akan terus berkerjasama dengan FAA sehingga tugas selesai.
Perlucutan pengiktirafan CAAM dari Ketegori 1 ke Kategori 2 hanya tertumpu kepada peranannya sebagai pengawal selia penerbanga.
Ini bukannya melibatkan kehilangan pengiktirafan terhadap syarikat penerbangan, lapangan terbang atau perkhidmatan trafik udara di bawah kawal selia CAAM. Namun, mana-mana syarikat penerbangan yang dilesenkan oleh CAAM hilang hak untuk membuka laluan udara baharu keluar-masuk destinasi di Amerika Syarikat.
Perlucutan FAA ini tidak menjejas ‘kerusi’ CAAM yang masih kekal dalam Majlis International Civil Aviation Organisation (ICAO). Menurut Kapten Ahmad Ridzwan, CAAM telah menjalani proses odit ICAO pada 2016 dan masih kekal status pengiktirafan badan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes tidak membuat komen tentang tindakan FAA ini melainkan menyebut akan menunggu arahan dari Kementerian Pengangkutan.