JAKARTA: Letusan Gunung Sinabung di Sumatera, Indonesia setakat ini tidak menjejaskan kualiti udara di Malaysia atau membawa sebarang virus ke negara ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sentiasa memantau data kualiti udara berikutan tersebar bebarapa dakwaan dan khabar angin bahawa Gunung Sinabung, yang meletus sejak 19 Feb lepas, telah menjejaskan kualiti udara di Malaysia serta membawa virus flu ke negara ini.
Kementerian sentiasa memantau data kualiti udara melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak gunung itu meletus dan setakat ini, tahap kualiti udara berada pada julat dari baik ke sederhana pada kebanyakan masa.
“Oleh itu, tiada apa langsung yang boleh mengesahkan khabar angin dan dakwaan bahawa letusan berapi Gunung Sinabung menyebabkan kualiti udara di negara ini merosot.
“Dakwaan bahawa abu gunung berapi menyebabkan tersebarnya flu di sini adalah berniat jahat dan tidak berasas sama sekali,” kata Wan Junaidi dalam kenyataan di sini, hari ini.
Wan Junaidi berkata tidak mungkin abu gunung berapi itu sampai ke negara ini kerana Malaysia masih mengalami monsun timur laut, dengan angin timur laut sentiasa bertiup ke arah Sumatra.
Berdasarkan data Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) bertarikh 19 Feb pada 1700 GMT (1 pagi), abu gunung berapi itu berada pada ketinggian 10,000 kaki dan bergerak ke arah timur, katanya.
Beliau berkata MET membuat analisis menggunakan Hybrid Single Particle Lagrangian Integrated Trajectory Model (HYSPLIT), suatu model komputer yang digunakan bagi mengira trajektori parsel dan penyebaran udara atau mendapan bahan cemar atmosfera.
Pemodelan HYSPLIT menunjukkan abu daripada letusan gunung berapi itu akan bergerak ke arah timur laut dari Gunung Sinabung di Sumatra.
Sementara itu, Wan Junaidi berkata Kementerian Kesihatan mengesahkan flu berkenaan berpunca daripada virus influenza dan virus itu tidak boleh bertahan dalam lahar dan abu yang panas.
“Keadaan cuaca tidak menentu di Malaysia sekarang menyebabkan ramai rakyat negara kita jatuh sakit dan keadaan ini wujud sebelum gunung berapi itu meletus lagi.
“Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana kita tidak akan terjejas dalam sebarang cara, bentuk atau keadaan susulan letusan gunung berapi itu termasuklah di seberang Selat Melaka,” katanya.
–BERNAMA