Jangan sampai alami kemurungan waktu berpantang iaitu selepas bersalin. Sebab jika tak dirawat dalaman kemas-kemas, kesannya boleh membawa kemudaratan. Benarlah istighfar dan doa jadi kekuatan buat ibu halang kemurungan. Ibu anak 4, Puan Aznina Ismail ini melalui saat sayu sepanjang berpantang. Rupanya emosi turun naik itulah membuatkannya hampir alami kemurungan atau meroyan.
Tarikh 21 September anak kecilnya, Eunus sudah memasuki 2 bulan. Barangkali itulah kali terakhir buatnya melalui fasa berpantang. Pengalaman 2 bulan berpantang selepas bersalin inilah yang benar-benar meninggalkan kesan untuknya sampai saat ini. Dua minggu sebelum bersalin abahnya, Ismail Bin Md Taib dijemput Ilahi. Seperti yang doktor sahkan abahnya alami Hypovolaemic Shock Secondary To Acute Gastroenteritis.
Paling terkesan, arwahlah yang selalu mencari daun-daun herba untuk mandiannya sewaktu berpantang. Dialah yang bantu mak urus perihal berpantang dari A sampai Z. Sentiasa ada di sisi maknya setiap kali anak bongsunya itu berpantang. Bayi pun bila alami demam kuning arwah abahnya lah yang akan berusaha carikan penawar.
Tak Seorang Pun Tahu Yang Aku Hampir Kemurungan
2 bulan dalam pantang jujurnya aku hampir alami kemurungan. Namun dengan sisa semangat yang ada, melihat wajah ank-anak, suami, keluarga terutama mak, aku kumpul saki baki semangat tu. (Tak seorang pun tau aku hampir kemurungan)
Masa masuk wad, fikiran aku hanya kenangkan arwah abah.
Semuanya tentang abah.
Teringat dan terngiang-ngiang abah nak datang ambil aku. Abah nak bawa aku balik kampung. Abah yang janji nak jaga aku waktu pantang.
Sepanjang mengandung memang berkali-kali dia duk cakap nak jaga aku. Nak siapkan tempat ‘berdian’ (tangas). Dia cakap aku kena pantang betul-betul sebab muda lagi, kena jaga badan, nak pakai lama.
Dia puji mak aku melambung-lambung sebab mak disiplin bab pantang. Walaupun dah 73 tahun masih sihat. Lagi pula abah memang rajin jaga mak waktu berpantang. Ujian tuhan tiada siapa menduga, 1 July hari terakhir abah bernafas di muka bumi ini.
Sampai saat itu, setiap kali dirinya terkenangkan abah, dia akan menangis. Paling tak sanggup nak dengar suara mak dengan kata-kata pilu.
Aku tak kuat bila mak call, mak cakap “Maafkan mak tak dapat datang, orang yang selalu bawa mak dah ‘tak de.”
Bergetar suara mak menangis. Ya Allah hampir meraung aku dalam wad tu. Hanya zikir, Yaasin dan Tahlil je mampu mengubat perasaan masa tu. Entah kenapa malam sebelum melahirkan, aku rasa abah ada di tepi katil. Seolah-olah memberikan semangat untuk aku.
Seminggu dalam pantang aku di rumah mertua. Aku jadi ‘diam’. Mungkin sakit bahagian jahitan, hilang bius makin terasa. Ketika ini aku ‘melayang’. Adakala ok adakala aku murung, diam, menangis.
Minggu Pertama Berpantang Abah Tak Ada
Bila rasa macam tu terus istighfar dan baca apa yang patut. Aku tak sabar nak balik kampung. Sebab aku nak tengok muka mak. Aku nak curi semangat dan kekuatan dia. Bila sampai kampungg lega yang amat dapat sedikit semangat yang aku nak.
Minggu Kedua Berpantang Tanpa Abah
Aku dah start terbayang abah. Aku duk terbayang dia yang pagi-pagi lepas subuh duk bakar batu tungku dan tolong mak tungkukan aku. Selalunya mak tungku kat perut abah kat kaki.
Begitulah setiap pagi, dan sepanjang hari dia la yang bergilir bakarkan tungku. Kali ni aku nampak mak pun hilang semangat, bila abah tak ada. Tapi mak tetap buat semua tu.
Untuk mandian aku pula, abah pagi-pagi naik motor akan cari daun-daun untuk mandian. Harum satu rumah. Kali ni tak ada… Itu belum berurut. Petang-petang tengok TV sambil bertungku abah duk urut kaki, kepala. Tu belum bab baby, kuning ke, pergi klinik ke.. Abahla yang buat. Menangis lagi…….
Mak hari-hari rindu abah. Hari-hari cerita pasal abah. Aku tahan air mata, aku tak nak mak sedih. Sebab aku tahu, mak pun perlukan kekuatan. Tapi hanya Allah je tau lepas tu aku nangis.
Al Fatihah je yang mampu redakan. Itu je aku mampu kirim. Mujur ada kakak-kakak aku. Anak-anak buah yang bantu mak dan aku. Eunus kuning tinggi setiap hari kena pergi klinik, ank buah aku la yang bawa. Suami, mertua, kakak-kakak ipar pula banyak membantu uruskan anak-anak aku yang lain. Alhamdulillah Allah permudahkan.
2 bulan lebih ni aku masih kumpul kekuatan. Rasanya kami sekeluarga sedang mencari kekuatan lagi. Rindu itu tak pernah padam. Hari-hari wajah abah sentiasa terbayang. Bagusnya setiap kali teringat memang sentiasa sedekah bacaan untuknya. Moga sampai pada abah. InshaAllah.
Kemurungan Waktu Berpantang Bukan Mainan
Kalau dalaman tak kuat memang mudah ‘meroyan’. Alhamdulillah aku lepasi zon tu walaupun kali ni pantang aku tak sedisiplin sebelum ni.
Terima kasih semua yang membantu.
Suami, keluarga mertua yang uruskan persekolahan dan menjaga anak-anak sementara aku berpantang di kampung. Terima kasih ku ucapkan.
Keluarga ku yang menjaga dan membantu pelbagai urusan semasa berpantang, terima kasih banyak-banyak atas jasa kalian. Alhamdulillah keluarga suami dan keluarga ku sendiri banyak membantu. Allah sahaja yang mampu membalasnya.
Buat abah, kami sentiasa rindu abah. Kami bukan meratapi, tapi kami sentiasa ingat kebaikan abah. Bukan kami je, orang lain pun bercerita tentang abah. Bahagianya semua cerita tentang kebaikan abah. Semoga kita akan bersatu di sana. Amin. Al-Fatihah.
Sumber/Foto : Facebook Aznina Ismail