JOHOR BAHRU: Demografi bukan satu-satunya faktor utama yang diambil kira dalam menentukan calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, bulan hadapan.
Sebaliknya, penentuan calon juga perlu mengambil kira semangat ‘kekitaan’ atau muafakat dalam parti komponen BN, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon.
“Kalau semua perhitungan adalah berdasarkan kepada majoriti yang paling banyak (demografi atau jumlah penduduk paling ramai), jadi untuk pilihan raya akan datang ini, di mana kita kena letak kerusi MCA?
“Jadi, perkiraan atau perhitungannya bukanlah sahaja dari segi jumlah penduduk (pengundi), peratusannya (peratusan pengundi) ataupun demografinya sahaja.
“Yang paling penting adalah saya rasa seperti mana yang telah diungkitkan dan dibangkitkan secara inklusiviti dalam penyatuan ummah. Kita kena bergerak ke depan sebagai satu pasukan,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama mengenai persiapan parti itu menghadapi PRK Parlimen Tanjung Piai di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kenyataan beliau itu bermaksud ‘MCA tidak kisah sesiapapun calon yang akan diletakkan asalkan membawa kemenangan kepada BN’, Mah berkata ia bukanlah begitu.
“Jangan kita terus terlampau membicarakan perkara ini sampai kita terlalu ghairah nakkan… Apa yang saya katakan ini untuk semua pihak. Pada saya, serahkan dan berikan ruang kepada pucuk kepimpinan tertinggi dan saya pasti pucuk kepimpinan tertinggi BN telahpun berbincang mengenai perkara ini dan akan membuat keputusan yang terbaik,” kata beliau.
Meskipun begitu, pihaknya tidak menafikan bahawa MCA adalah parti yang ‘sangat sesuai’ untuk meletakkan calon bertanding mewakili BN.
“Kalau kita lihat, memang saya rasa MCA ini sangat sesuai untuk kita letakkan calon. Ini bukan satu desakan tetapi saya rasa perhitungan dari semua segi.
“Kalau kita lihat betul-betul, memang kita mempunyai calon yang sangat sesuai dan saya rasa kalau dibuat keputusan sebegitu (iaitu) diletakkan calon MCA, maka, hendaklah kita (parti komponen BN lain) berikan sokongan yang sepenuhnya,” katanya.
Mengikut rekod, Tanjung Piai adalah kerusi tradisi MCA sebelum dirampas oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
Kawasan Tanjung Piai mempunyai pecahan kira-kira 57 peratus pengundi Melayu, 42 peratus (Cina) dan satu peratus (India).
PRK Parlimen Tanjung Piai yang merupakan PRK kesembilan selepas PRU14 diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas, berikutan komplikasi jantung.
Pada PRU14, Dr Md Farid yang juga seorang pakar bius dan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).
— BERNAMA