KUALA LUMPUR : Pemain professional e-sukan Dota 2 Malaysia, Ohaiyo atau nama sebenarnya Khoo Chong Xin disahkan meninggalkan pasukan sukan elektronik (e-Sukan) antarabangsa, Fnatic.
Jurulatih Fnatic Adam Shah berkata Ohaiyo dan pasukannya mempunyai pandangan berbeza tentang Dota 2 yang akhirnya memaksa Ohaiyo untuk bermain di luar zon selesa.
“Memang sedih untuk ucap selamat tinggal kepada Ohaiyo memandangkan dia seorang pemain hebat. Bagaimanapun, cara kami memahami Dota 2 adalah berbeza,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Selepas tiga tahun beraksi, posisi Ohaiyo bakal digantikan dengan bekas pemain Evil Geniuses Saahil Arora atau lebih dikenali sebagai UNiVeRsE.
Pengumuman peninggalan Ohaiyo itu sememangnya memberi kejutan kepada komuniti e-sukan tempatan dan luar negara memandang Fnatic baru sahaja memenangi tempat kedua kejohanan Dota 2 Summit 8.
Fnatic juga telah melayakkan diri ke kejohanan ESL One Katowice pada Februari depan.
Sementara itu, ruangan komen media sosial di akaun Ohaiyo dibanjiri dengan kata-kata semangat daripada peminat susulan pengumuman tersebut pada Sabtu.
Antaranya mengharapkan Ohaiyo dapat menubuhkan kumpulan gergasi Asia Tenggara tersendiri.
Sejak Fnatic membuat kemunculan semula dalam arena e-sukan pada 2015, Ohaiyo merupakan antara tonggak utama pasukan itu.
Antara sumbangan terbesar Ohaiyo bersama Fnatic adalah ketika pasukan tersebut mendapat tempat keempat kejohanan terbesar dunia Dota 2, The International 2016 yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM 5.7 juta.