MELAKA: Seorang pemandu treler dan seorang pemandu kereta maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berkenaan di Kilometer 197.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar tol Ayer Keroh di sini, hari ini.
Lelaki berusia 56 tahun itu dan wanita berusia 34 tahun tersebut meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam kemalangan kira-kira 7 malam itu.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sharulnizam Sidek berkata suami dan dua anak lelaki wanita berkenaan mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kita menerima panggilan pada 7.07 malam sebelum sampai di tempat kejadian 16 minit kemudian. Tiga penumpang kereta Honda Jazz itu dikeluarkan orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.
“Pemandu wanita yang tersepit itu pula dikeluarkan anggota bomba dalam masa kira-kira 20 minit manakala usaha mengeluarkan pemandu treler tersebut pula mengambil masa 10 minit,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila treler yang dalam perjalanan ke selatan dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar Honda Jazz yang dinaiki empat sekeluarga berkenaan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka Supt Mohd Sham Abdullah berkata polis masih mengumpul maklumat mengenai identiti kesemua mangsa yang terlibat dalam nahas berkenaan.
Beliau berkata nahas tersebut menyebabkan kesesakan teruk di laluan lebuh raya utara selatan dari arah selatan ke Kuala Lumpur.
“Trafik dari laluan berkenaan terpaksa dilencongkan ke Plaza Tol Ayer Keroh dan seterusnya ke Plaza Tol Simpang Ampat,” katanya semasa dihubungi hari ini.
— BERNAMA