YAOUNDE, 23 Feb — Bekalan lebih 11,000 dos vaksin Ebola tiba di Conakry, ibu kota Guinea, lapor Agensi Berita Anadolu, memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa.
“Kargo itu diangkut dari Senegal menggunakan pesawat kerajaan selepas ia terkandas di Dakar akibat cuaca buruk. Vaksinasi tepat pada waktunya sangat penting untuk membendung wabak Ebola,” tulis WHO Rantau Afrika di Twitter.
Pengarah WHO Afrika Matshidiso Moeti, berkata pasukan vaksinasi telah dikerahkan ke N’Zerekore, bandar kedua terbesar di negara itu, dan bersedia untuk melancarkan vaksinasi tidak lama lagi.
Minggu lalu, WHO menyatakan lebih 100 petugas dijangka menjadi sebahagian daripada pasukan bertindak Ebola di Guinea yang dijadual pada Februari.
Menurut WHO, wabak Ebola baharu dilaporkan di Afrika Barat pada 14 Februari. Negara ini telah mencatatkan lapan kes, lima kematian dan 380 kontak dengan 98 peratus daripadanya sedang dipantau.
Awal bulan ini, pihak berkuasa di Republik Demokratik Congo juga mengumumkan kemunculan virus Ebola, demam tropika yang menjangkiti manusia daripada haiwan liar, di bahagian timur negara Afrika Tengah, lebih dua bulan setelah berakhirnya wabak.
Mula ditemui pada 1976, virus ini menimbulkan kerisauan global pada 2014 ketika wabak terburuk dunia itu dikesan di Afrika Barat, meragut lebih 11,000 nyawa dan menjangkiti sekitar 28,600 orang di Guinea, Liberia, dan Sierra Leone.
— BERNAMA