KOTA KINABALU: Setelah mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records dengan mendaki Gunung Kinabalu secara mengundur pada 1992, Edward Taning, 58, sekali lagi akan melakukan aksi serupa pada tahun ini dalam usahanya mencipta nama dengan rekod baharu, sekali gus membantu mengumpul dana untuk kebajikan.
Projek yang dinamakan sebagai Edward Gostaning (Summit Kinabalu Jasamu Dikenang) itu akan diadakan pada 8 Mac ini.
Penyelaras projek, Richard Soibi berkata program anjuran bersama Persatuan Malim Gunung Kinabalu yang menyasarkan kutipan lebih RM500,000 itu juga untuk mendapatkan dana bagi membina dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Bundu Tuhan, Ranau
“Dana berkenaan juga bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Ranau yang masih kekurangan kelengkapan. Kami difahamkan PPDK berkenaan memerlukan sebuah bas untuk pengangkutan pelajar-pelajar tersebut,” katanya.
Selain itu, dana itu juga bagi mengisi tabung malim untuk membeli peralatan di asrama malim di Gunung Kinabalu, katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Selasa.
Richard berkata semasa kunjungan hormat itu, Mohd Shafie setuju untuk menjadi penaung projek berkenaan dan beliau secara peribadi turut menyumbangkan sebanyak RM95,000 ke dalam tabung yang diwujudkan.
Sementara itu, Edward berkata, walaupun memegang kad OKU, beliau tidak pernah menjadikannya alasan untuk tidak menyumbang kepada masyarakat termasuk mencari dana melalui aktiviti kebajikan.
“Sebelum ini pernah saya pernah mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mendaki Gunung Kinabalu secara mengundur pada 1992,” katanya.
Selepas 17 tahun, Edward yang merupakan anak tempatan Inanam kembali dengan membawa misi yang sama, namun laluan yang berbeza pada 2009 apabila berjaya menghasilkan rekod berjalan mengundur sejauh 342 kilometer dari Sandakan ke Kota Kinabalu.
Bapa kepada empat cahaya mata itu yang mengalami kecacatan melibatkan otot di kaki kanannya sejak berusia sembilan tahun, kembali mencipta nama dengan rekod berjalan sejauh 404 km dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu pada 2012.
“Apa yang saya lakukan ini bukan untuk mencari populariti, saya mahu buktikan golongan OKU juga mampu mencipta kejayaan. Saya akan buktikan umur juga bukan penghalang untuk kita mencapai satu kejayaan,” katanya.
Edward berkata beliau tidak mempunyai jurulatih dan hanya menjalani latihan sendiri dengan berjalan, berjoging dan berlari di kawasan sekitar kampungnya di Kiulu, Tamparuli sebagai persediaan untuk program itu.
“Kemungkinan kami mahu cadangkan Malaysia Book of Record pergi (ke peringkat) dunia kali ini, terpulang kepada pegawai untuk urus Guiness World Record, kalau tidak, setakat Malaysia Book Of Record sahaja,” katanya.
— BERNAMA