KUALA LUMPUR, 1 Mac — Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2021 Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang menawarkan 13 blok eksplorasi menerusi acara secara maya pada 26 Februari lepas, berjaya menarik penyertaan lebih 250 pelabur berpotensi dan sedia ada.
Menurut syarikat minyak dan gas negara itu, kalangan pembida berpotensi terbabit melakukan penstriman secara langsung dari negara-negara Amerika Utara, United Kingdom, Eropah serta Asia Pasifik.
“Acara MBR 2021 yang bertemakan ‘Grow Your Energy Portfolio With Us’ (Pertingkat Portfolio Tenaga Anda Bersama Kami) itu juga membuka lebih banyak peluang pelaburan untuk mereka serta memanfaatkan potensi sumber hidrokarbon di Malaysia,” kata Petronas dalam kenyataan pada Isnin.
Tiga daripada 13 blok yang ditawarkan itu terletak di lembangan Malaysia (PM340, PM327 dan PM342), empat di lembangan Sabah (SB409, SB412, 2W dan X) manakala enam lagi di kawasan lembangan Sarawak (ND3A, SK4E, SK328, SK427, SK439 dan SK440).
“Blok PM342, SK4E, SK328 dan SB409 itu juga mempunyai enam medan yang ditemui serta membolehkan usaha eksplorasi secara meluas oleh pelabur yang pada masa sama turut membantu mempercepatkan usaha bagi menjana keuntungan.
“Selain itu, MBR 2021 juga menawarkan empat blok laut dalam (ND3A, 4E, 2W dan X) di luar pesisir pantai Sarawak dan Sabah dengan penemuan eksplorasi yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
MBR merupakan bidaan tahunan anjuran Petronas yang menawarkan pelabur dengan pelbagai peluang di Malaysia merangkumi blok eksplorasi serta yang kurang dibangunkan, penemuan sumber serta aset akhir hayat serta peluang kajian teknikal bagi mengembangkan portfolio tenaga mereka selain mewujudkan nilai.
Menurut Petronas, walaupun MBR kali menumpukan blok-blok eksplorasi, turut tersedia adalah peluang penemuan aset akhir hayat serta medan kecil yang akan ditawarkan pada separuh kedua tahun ini.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Petronas bagi Pengurusan Petroleum Malaysia Mohamed Firouz Asnan berkata sebagai penggiat industri, Petronas perlu meneruskan aktiviti eksplorasi bagi merebut peluang besar yang ditawarkan oleh peralihan tenaga.
“Walaupun peluang eksplorasi dan pengeluaran itu mungkin wujud di ceruk lain dunia, saya yakin anda akan menemui peluang menarik di Malaysia dalam pelbagai bentuk. Oleh itu, apabila anda memanfaatkan peluang secara tepat, anda bukan setakat menseimbangkan, tetapi turut memperkukuh portfolio masing-masing.
“Kami berharap dapat melihat pelabur baharu tahun ini selain penggiat sedia ada yang berhasrat untuk mengembangkan lagi portfolio mereka di Malaysia,” katanya.
— BERNAMA