KUALA LUMPUR, 15 April — Anak syarikat milik penuh WZ Satu Bhd, WZS Misi Setia Sdn Bhd menerima Surat Lantikan (LOA) daripada Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB) untuk penyediaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian projek pengurusan efluen di peringkat sumber (EMAS).
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata kontrak EMAS bernilai RM243.43 juta.
Katanya WZS Misi Setia sebagai rakan konsortium itu, bersama dengan peneraju konsortium HRSB Holdings Sdn Bhd, menerima kontrak tersebut daripada MRCSB pada 13 April, 2021.
“Tempoh kontrak itu selama 27 bulan dan disasarkan siap pada atau sebelum 30 Jun, 2023.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021, 31 Dis, 2022 dan 31 Dis, 2023,” menurut WZ Satu, syarikat pembinaan dan kejuruteraan awam.
— BERNAMA