KUALA LUMPUR, 2 April — Cabang pembinaan WCE Holdings Bhd, KEB Builders Sdn Bhd (KEBSB) meraih kontrak pembinaan Bahagian 7B daripada projek West Cost Expressway bernilai RM301 juta.
KEBSB menerima surat tawaran daripada IJM Construction Sdn Bhd-Kumpulan Europlus Bhd Joint Venture, kontraktor kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (kontraktor EPC) projek tersebut.
Dengan ini, semua pakej pembinaan bagi keseluruhan penjajaran projek West Cost Expressway telah diberikan sepenuhnya, kata WCE dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Seperti dalam perjanjian konsesi yang dimeterai dengan kerajaan bertarikh 2 Jan, 2013 dan perjanjian tambahan bertarikh 11 Dis, 2014, kaedah pemerolehan bagi Bahagian 7 akan ditawarkan menerusi tender terbuka.
“Bagaimanapun, demi kepentingan masa dan kos, kerajaan telah meluluskan kaedah pemerolehan Bahagian 7 yang akan dilaksanakan melalui pemberian langsung kepada KEBSB,” kata syarikat itu.
Bahagian 7B adalah sejauh kira-kira 10 kilometer daripada permulaan Persimpangan Assam Jawa ke arah Persimpangan Tanjung Karang.
WCE berkata tempoh penyiapan projek adalah selama 30 bulan daripada tarikh permulaan pembinaan.
Projek West Coast Expressway dibangunkan secara bersama oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan anak syarikat 80 peratus milik WCE, West Coast Expressway Sdn Bhd, yang melibatkan pembangunan lebuh raya sepanjang 313 kilometer.
— BERNAMA