KUALA LUMPUR, 30 Mac — CyberSecurity Malaysia (CSM), Celcom Axiata Bhd dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd telah membentuk pakatan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) tiga pihak dengan matlamat pembelajaran, pengurusan, menangani serta mengurangkan ancaman yang berkaitan dengan keselamatan 5G.
Pihak-pihak berkenaan dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata melalui MoU itu, sebuah Makmal Ujian Keselamatan Siber 5G akan diwujudkan bagi mencapai objektif kerjasama tersebut, ini merupakan yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara.
“Makmal Ujian Keselamatan Siber 5G yang akan dibina dalam premis CyberSecurity Malaysia di Cyberjaya, bukan sahaja bertujuan melaksanakan kes ujian berkaitan Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan keselamatan telekomunikasi tetapi juga bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menyahut serangan siber yang berkaitan dengan 5G.
“Inisiatif ini juga bertepatan pada masanya dengan pengumuman Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDigital oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mana 5G dijangka akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Kemudahan ini akan merangkumi ekosistem pelantar ujian 5G yang komprehensif yang menggabungkan teknologi seperti rangkaian akses radio 5G (RAN), Edge Network, Core Network, Aplikasi Awan serta peranti Pengguna Akhir yang dilengkapi dengan alat dan peralatan ujian keselamatan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CSM, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata MoU ini bertujuan melahirkan kerjasama strategik dalam keupayaan teknologi, kekuatan serta kapasiti, yang mana CSM mendapati ianya perlu untuk diterima pakai dalam merealisasikan visi keselamatan siber.
“Ancaman siber semakin meningkat dan keselamatan negara serta awam amat penting dalam operasi harian. Oleh itu, set kemahiran, pengetahuan dan alat yang berkaitan diperlukan untuk melindungi organisasi termasuk individu daripada ancaman siber,” katanya.
Menurut CEO Huawei Malaysia, Michael Yuan, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan teknologi, perkhidmatan dan penyelesaian yang diperlukan bagi mengatasi risiko keselamatan maya.
“Serangan siber telah menjadi berleluasa dan boleh merosakkan individu serta perniagaan. Selaras dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi Hab Digital ASEAN, adalah menjadi tanggungjawab kami sebagai rakan teknologi dalam membantu negara merealisasikan wawasan itu, dengan mengusahakan inisiatif dan membina kesedaran keselamatan siber,” katanya.
Pihak-pihak berkenaan juga akan bersama-sama mengenal pasti bidang-bidang teras yang strategik dalam mengurus dan mengurangkan ancaman terhadap keselamatan siber, selain, memperkenalkan NESAS (Skim Jaminan Keselamatan Peralatan Rangkaian) atau piawaian dan keperluan lain yang setara dengannya ke dalam industri rangkaian 5G Malaysia.
Makmal Ujian Keselamatan Siber 5G akan mencerminkan fokus Huawei terhadap penyelidikan dan pembangunan keselamatan yang dibuktikan melalui pengoperasian ratusan rangkaian evolusi jangka panjang secara selamat di seluruh dunia sejak beberapa dekad lalu.
— BERNAMA