KUALA LUMPUR, 28 Okt — Penyertaan pekebun kecil dalam rantaian bekalan global mampu diperhebatkan menerusi usaha digitalisasi yang dapat meningkatkan aspek kemampanan, meminimumkan kos serta peranan orang tengah.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sumwin Group, U.R. Unnithan berkata walaupun 40 peratus bekalan minyak sawit global diusahakan oleh pekebun kecil, hanya dua peratus daripada mereka yang mempunyai pensijilan sewajarnya.
“Terdapat tiga juta pekebun kecil di Malaysia dan Indonesia, namun (jumlah) mereka yang mempunyai pensijilan itu amat kecil.
“Penyertaan mereka dalam rantaian nilai wajar dipandang secara serius terutamanya apabila terdapat peningkatan sebanyak 13 peratus dan 11 peratus tahun ke tahun membabitkan minyak sawit mampan disahkan (CSPO) dan isirung sawit mampan disahkan,” katanya pada hari kedua Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC) 2020 yang dianjurkan secara maya di sini, hari ini.
Sesi yang bertemakan ‘Impak COVID-19 dan Ketegangan Perdagangan Amerika Syarikat-China Terhadap Industri Minyak Sawit’ turut menyentuh prospek minyak sawit bagi tahun depan.
Unnithan berkata, penyelesaian digital dapat membantu pekebun kecil mengatasi kekangan menerusi kaedah yang kos rendah serta mudah disesuaikan.
Pada masa sama, ia turut menggalakkan pekebun kecil beralih daripada proses manual kepada skop berteraskan aliran kerja automasi digital dengan hanya menggunakan telefon bimbit mereka.
“Digitalisasi ini dapat memperkasakan pekebun kecil untuk mematuhi semua keperluan garis panduan pensijilan termasuk Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO), Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan SPO Indonesia serta rantaian bekalan yang lestari,” katanya.
Malah, lebih penting lagi, usaha itu dapat membantu pekebun kecil meminimumkan kebergantungan terhadap orang tengah dari segi harga pasaran yang lazimnya ditetapkan pada paras premium, amalan pertanian baharu, skim baharu dan keperluan dokumen berkaitan.
Unnithan berkata platform pendigitalan turut membolehkan pekebun kecil berhubung terus dengan pembeli global dan memanfaatkan insentif kemampanan syarikat-syarikat tersebut serta menangani keperluan pengawalseliaan, tekanan badan bukan kerajaan dan pengguna untuk CSPO.
“Kebanyakan syarikat multinational besar mahukan produk yang diperakui mampan. Oleh itu, keperluan untuk menghasilkan serta urus niaga minyak sawit mampan bukan lagi pilihan bagi pekebun kecil tetapi mandatori bagi memastikan kelangsungan mereka dalam pasaran minyak global yang mencabar,” katanya.
Beliau turut memetik laporan bahawa terdapat seramai 8,012 pekebun kecil bebas atau persendirian dan 152,284 pekebun kecil terancang yang mempunyai pensijilan RSPO sejak ia diperkenalkan pada 16 tahun lepas.
“Bagi MSPO, jumlah itu membabitkan 54,609 pekebun kecil bebas dan seramai 231,576 pekebun kecil terancang,” katanya.
— BERNAMA