KUALA LUMPUR, 13 Mac — Kementerian Kewangan akan terus mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan lebih banyak program turun padang bagi memahami keperluan rakyat terutama golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beliau bersama pegawai-pegawai dari kementerian itu kerap mengadakan sesi turun padang bagi mengetahui, memahami serta merumuskan inisiatif-inisiatif kerajaan supaya lebih banyak bantuan dapat disalurkan.
Antara sebab mengapa ada golongan yang tercicir, tidak menerima bantuan yang diumumkan adalah kerana kurang kesedaran mengenai pakej-pakej yang telah diumumkan, katanya.
“Dalam lawatan saya sejak memegang jawatan Menteri Kewangan, saya telah berjumpa dengan ramai orang. Saya berjumpa peniaga-peniaga kecil, peniaga besar dan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
“Saya pergi ke Sarawak, Sabah, ke Pahang. Contohnya di Pahang, kita telah meilhat kawasan-kawasan yang terkesan akibat banjir baru-baru ini,” katanya dalam jadual video bertajuk ‘Soalan Yang Tidak Pernah Ditanya Kepada YB Tengku Zafrul’, ia disiarkan di laman Facebook Tengku Zafrul.
Kementerian Kewangan telah mengumumkan beberapa pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah RM305 bilion termasuk Bantuan Prihatin Rakyat dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Selain itu, Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) juga telah ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.
Tengku Zafrul berkata sesi turun padang yang diadakan bukan berunsur politik.
Apa yang telah dilakukan setakat ini masih tidak mencukupi dan pada tahun ini (2021), lebih banyak sesi turun padang akan dianjurkan, katanya.
“Apa yang kita tonton di televisyen adalah berbeza daripada anda bercakap terus dengan golongan terkesan. Saya juga berpeluang untuk berjumpa dengan beberapa keluarga di Program Perumahan Rakyat di Lembah Pantai yang terkesan, mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Ada diantara mereka yang memerlukan bantuan yang lebih kerana mereka telah kehilangan pekerjaan. Ramai juga yang bekerja di sektor informal dan tiada jaringan keselamatan. Kerajaan akan membantu golongan ini. Pakej bantuan dan inisiatif sedia ada mungkin tidak dapat membantu mereka,” katanya.
— BERNAMA