KUALA LUMPUR, 9 Nov — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup pejabat dan kaunter cawangan Klang selama satu hari esok (10 Nov) untuk menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman dan sanitasi.
Langkah itu diambil selepas salah seorang kakitangan di cawangan tersebut telah diuji positif COVID-19, beliau kini sedang menjalani rawatan.
”Anggota yang mempunyai temujanji di KWSP Klang yang dijadualkan pada 10 Nov 2020 diminta untuk memasuki kemudahan Janji Temu Online (www.kwsp.gov.my/janjitemu) bagi menjadualkan semula lawatan mereka.
”Cawangan itu akan dibuka semula menjelang 11 Nov 2020, dari 9 pagi hingga 2 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kakitangan KWSP Klang yang dikenal pasti sebagai kontak rapat telah melalui ujian swab COVID-19, dan kini menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara.
Semua pekerja lain di cawangan berkenaan juga diarahkan untuk melalui ujian COVID-19.