KUALA LUMPUR, 25 Nov — Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mahu para anggotanya meningkatkan ordinan pencegahannya bagi memastikan persekitaran yang selamat dan sihat di tempat kerja susulan penularan gelombang ketiga COVID-19.
Presidennya Dr Supramaniam Shanmugam berkata pematuhan lebih tegas terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipertingkatkan menerusi pemantauan dan pemeriksaan yang berterusan oleh kakitangan kesihatan dan keselamatan pada semua pekerja di kilang dan di asrama.
“Pasukan petugas khas bersama terdiri daripada kementerian berkaitan dan MARGMA akan terus melakukan lawatan mengejut ke kilang anggota kami, untuk memantau dan memastikan mereka mematuhi standard keadaan hidup seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Supramaniam berkata MARGMA telah mengambil ketetapan menerusi mesyuarat agung luar biasa supaya semua anggotanya memulakan dan mengguna pakai keperluan pematuhan sosial selaras dengan program Audit Perdagangan Etika Anggota/Pertukaran Data Etika Pembekal (Sedex).
“Banyak yang telah mencapainya, namun yang lain berada pada pelbagai tahap penyelesaian manakala audit tersebut, antara lainnya akan menangani standard keadaan hidup.
“MARGMA menyedari situasi berkaitan dengan kilang satu daripada anggota utama kami dan kami yakin mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kesihatan dan pakar-pakar kebersihan bagi membendung virus tersebut daripada menular dalam kalangan pekerja mereka,” tambahnya.
Katanya, syarikat yang terjejas itu akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa kesihatan dan juga menjaga pekerjanya yang terkesan dengan pandemik itu.
“MARGMA ingin meredakan kebimbangan KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai sama ada sarung tangan mencukupi akan dihasilkan untuk mereka dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 di seluruh dunia.
“Akan ada kapasiti baharu untuk menampung kekurangan sementara dan tidak akan ada gangguan besar kepada apa yang dibekalkan ke seluruh dunia ketika ini,” katanya.
MARGMA menganggarkan permintaan dunia mencecah 360 bilion pasang sarung tangan tahun ini dan berkata Malaysia akan memberikan yang terbaik bagi membekalkan sekurang-kurangnya 250 hingga 270 bilion pasang.
— BERNAMA