KUALA LUMPUR, 10 Mac — Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) dan Kenanga Investment Bank Bhd menubuhkan Fintech Fund, saiz dana sasaran sebanyak RM300 juta untuk menyokong pertumbuhan syarikat teknologi kewangan (fintech) di Malaysia.
Ketua Eksekutif MDV Nizam Mohamed Nadzri berkata syarikat merancang untuk membiayai syarikat fintech dengan model perniagaan berskala dan mampan yang menyediakan penawaran produk berasaskan teknologi yang disruptif dan inovatif.
“Dengan keperluan segera negara untuk memanfaatkan kemajuan teknologi bagi mendorong pemulihan ekonomi, MDV dan Kenanga Investment yakin bahawa dana baharu itu akan dapat menyumbang secara positif kepada ekosistem syarikat permulaan dan teknologi Malaysia.
“Ini berdasarkan banyak kelebihan hutang teroka dan pembiayaan modal teroka sebagai sumber modal yang menarik untuk syarikat teknologi mencapai pertumbuhan yang mampan dan mencatatkan keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dana itu akan menyaksikan MDV dan Kenanga Investment mengambil peranan sebagai pengurus bersama dan pelabur bersama secara pro-rata.
Dalam fasa pelaburan awal, MDV dan Kenanga Investment, masing-masing akan menyumbang RM25 juta sebagai modal awal kepada dana tersebut, yang akan digunakan terutamanya untuk membiayai syarikat fintech dalam pelbagai peringkat kitaran hayatnya hingga penawaran awam pra-awal.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank Bhd Datuk Chay Wai Leong berkata dana itu akan membolehkan syarikat unicorn pada masa depan berkembang dan mengukuhkan teknologi dalam kedudukan yang baik untuk mendorong pemulihan Malaysia selepas COVID-19.
— BERNAMA