KUALA LUMPUR, 12 Mac — Moody’s Investors Service telah mengesahkan penarafan deposit mata wang asing jangka panjang A3 dan Penilaian Kredit Asas Baa2 (BCA) AmBank Bhd.
Ia juga telah menyemak semula unjuran penarafan AmBank daripada stabil kepada negatif.
Moody’s dalam satu kenyataan hari ini berkata penarafan itu dibuat susulan penyelesaian AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) sebanyak RM2.83 bilion dengan kerajaan (A3 stabil) berhubung penglibatannya dengan 1Malaysia Development Bhd.
”Pengesahan penarafan A3 AmBank menggabungkan penilaian Moody’s mengenai kemungkinan sokongan yang amat tinggi daripada kerajaan pada masa-masa yang diperlukan nanti.
”Ini menyebabkan peningkatan dua takuk daripada baa2 BCA bank itu, selepas mengambil kira kepentingan sistemik AmBank Group sebagai kumpulan perbankan keenam terbesar di Malaysia berdasarkan aset, dengan AmBank sebagai entiti operasi utama kumpulan,” katanya.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata prospek negatif tersebut mencerminkan ketidakpastian berhubung keupayaan AmBank untuk memulihkan permodalannya ke tahap pra-penyelesaian dalam tempoh 12-18 bulan akan datang.
“AmBank akan menyerap sebahagian penyelesaian besar itu pada masa ia sedang menghadapi kelembapan penjanaan modal dalamannya disebabkan kenaikan kos kredit.
”Pemulihan dalam permodalannya akan bergantung kepada usaha pelupusan AmBank Group, masa yang masih tidak menentu termasuk kelulusan pengawalseliaan bagi rancangannya untuk melaksanakan pengoptimuman aset wajaran risiko melalui pendekatan berdasarkan penarafan dalaman asas (FIRB) menjelang April 2022,” tambahnya.
Bagaimanapun, Moody’s berkata pengurangan modal AmBank akan diimbangi sebahagiannya oleh suntikan ekuiti segera daripada AmBank Group, memandangkan kumpulan itu merancang untuk mengekalkan ekuiti AmBank tahap 1 (CET1) melebihi ambang dalaman sebanyak 10.5 peratus.
Hasilnya, nisbah CET1 proforma AmBank akan jatuh kepada 11 peratus daripada 13.1 peratus setakat 31 Dis 2020.
— BERNAMA