KUALA LUMPUR, 22 April — Pekat Group Bhd, firma pengkhususan dalam solar fotovoltaik (PV) dan perlindungan pembumian dan kilat (ELP), menyasarkan dapat disenaraikan di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.
Dalam kenyataan, syarikat itu menjelaskan susulan langkah tawaran awam awal (IPO), ia telah menandatangani perjanjian penajajaminan dengan M&A Securities Sdn Bhd pada Khamis.
Pengarah Urusan, Chin Soo Mau berkata pemeteraian perjanjian itu bukan sahaja menunjukkan keyakinan terhadap Pekat, malah membawa syarikat untuk lebih dekat ke arah penyenaraian di bursa saham tempatan.
“Penyenaraian ini akan membolehkan kami memanfaatkan pasaran modal ekuiti untuk mengumpulkan dana bagi membina ibu pejabat dan kemudahan operasi baharu memandangkan kami sedang mengembangkan perniagaan solar PV dan ELP,” katanya dalam kenyataan itu.
Chin berkata hasil IPO itu secara amnya akan digunakan untuk memperluas operasi Pekat dalam usaha memanfaatkan pertumbuhan industri solar PV akan datang, yang akan membantu syarikat mengembangkan kemampuannya.
IPO itu melibatkan penerbitan 138.67 juta saham baharu dalam Pekat yang mewakili 21.5 peratus daripada modal saham terbitan keseluruhan.
Mengikut perjanjian itu, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 48.37 juta saham baharu yang disediakan untuk orang awam Malaysia dan para pengarahnya yang layak, pekerja serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.
Baki 90.30 juta saham baharu pula akan ditawarkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri selain pelabur terpilih.
Pemegang saham utama Pekat termasuk Hextar Holdings Sdn Bhd, yang merupakan pemegang saham utama Hextar Global Bhd yang disenaraikan di Pasaran Utama, Bursa Malaysia.