GEORGE TOWN, 8 Mac — Kerajaan Pulau Pinang sedang mencari lebih banyak tanah perindustrian untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap hartanah tersebut berikutan minat yang menggalakkan di Batu Kawan oleh pelabur.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Taman Perindustrian Batu Kawan merupakan satu “kejayaan yang besar” berikutan pengambilan tanah yang pesat sejak beberapa tahun ini.
“Ini bermakna kita perlu mencari simpanan tanah baharu untuk memenuhi permintaan (terhadap tanah industri) bagi menarik pelabur yang berpotensi,” katanya dalam sidang video.
Selain tanah, katanya kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan tempatan juga perlu menyediakan jenis insentif yang sesuai untuk menarik pelabur yang berpotensi untuk lebih menonjol berbanding negara-negara jiran.
Beliau berkata dengan persaingan sengit dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, Malaysia perlu mempunyai idea atau insentif yang baik untuk memenuhi keperluan khusus pelabur yang berpotensi.
“Malaysia perlu menawarkan insentif seperti ekosistem, kumpulan tenaga kerja, pendidikan, hak harta intelek dan sebagainya. Semua ini merupakan prasyarat yang amat penting kepada pelabur yang berpotensi.
“Kita dianggap bernasib baik kerana Pulau Pinang antara destinasi pilihan pelabur yang berpotensi, dan saya percaya mereka banyak membuat penyelidikan tanah dan pertimbangan di negara-negara lain di seluruh dunia sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.
Awal hari ini, Chow menjadi tetamu kehormat majlis ‘roof topping-out’ Lam Research Corporation untuk kemudahan pembuatannya yang baharu secara maya di Batu Kawan.
Naib Presiden Lam Research (Manufacturing) Mike Snell berkata Lam Manufacturing Malaysia akan menjadi hab pembuatan untuk Asia dan akan memainkan peranan penting dalam menyokong permintaan pelanggan terhadap peralatan mereka yang semakin meningkat.
“Tapak baharu ini akan menjadi kemudahan pembuatan yang maju dengan fleksibiliti untuk pengembangan operasi kami apabila diperlukan,” katanya.
Walaupun situasi tidak menentu berlaku pada tahun lepas, Pengurus Besar dan Pengarah Kanan Lam Manufacturing Malaysia Soon K. Kuek berkata kemajuan kemudahan baharu berteknologi tinggi seluas 65,032.13 meter persegi itu kekal di landasan dan akan menjadi hab Asia untuk operasi pembuatan Lam.
“Kemudahan baharu itu disasarkan akan memulakan operasi pada separuh kedua 2021 dan dijangka dapat menarik lebih 350 pekerja bernilai tinggi pada akhir tahun ini,” katanya.
Lam Research Corporation adalah pembekal peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer global yang inovatif kepada industri semikonduktor.
— BERNAMA