KUALA LUMPUR, 19 Mac — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) menawarkan pengecualian selama 12 bulan dan rebat ke atas fi berkaitan penyenaraian untuk membantu mengurangkan kos pengumpulan dana syarikat dan menyediakan lebih kelegaan kewangan kepada penerbit tersenarai.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pengawalselia itu berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada langkah-langkah bantuan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu.
“SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai sekiranya langkah-langkah lebih lanjut diperlukan untuk menyokong penerbit tersenarai sepanjang tempoh mencabar ini,” katanya.
Katanya pengecualian selama 12 bulan untuk fi berkaitan penyenaraian bagi tawaran awam permulaan (IPO) berkuat kuasa 17 Mac, 2021.
Katanya pengecualian 100 peratus ke atas fi pemprosesan, termasuk fi pendaftaran prospektus bagi syarikat yang memohon penyenaraian di Pasaran ACE dan LEAP serta syarikat yang mempunyai permodalan pasaran kurang daripada RM500 juta di Pasaran Utama.
“Ini turut termasuk pengecualian 100 peratus ke atas fi awal dan fi penyenaraian tahunan bagi syarikat dengan permodalan pasaran kurang daripada RM500 juta dan pengecualian 50 peratus ke atas fi awal dan fi penyenaraian tahunan bagi syarikat dengan permodalan pasaran sebanyak RM500 juta dan ke atas,” katanya.
SC dan Bursa Malaysia berkata rebat sebanyak 50 peratus daripada fi penyenaraian tahunan bagi tahun 2021 bagi penerbit tersenarai dengan permodalan pasaran di bawah RM500 juta setakat 31 Dis, 2020 dan telah melaporkan kerugian kewangan yang dikira dengan kerugian kumpulan setelah cukai dalam laporan suku tahunan bagi suku tahun berakhir pada mana-mana tarikh antara 1 Feb dan 30 April, 2021.
Selain itu, pengecualian ke atas fi pemprosesan, semakan dan penyenaraian bagi cadangan regularisasi yang diterima sebelum 31 Dis, 2021.
— BERNAMA