KUALA LUMPUR, 4 Feb — Sime Darby Bhd melancarkan buku mewah bertajuk ‘Futures Made Better – Sime Darby at 110’ bersempena ulang tahun ke-110 syarikat konglomerat tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata buku tersebut antara lainnya menghimpunkan evolusi perjalanan Sime Darby daripada saat-saat awal sehingga transformasinya kepada berstatus multinasional dengan operasinya tidak hanya di Malaysia sebaliknya berkembang ke China, Australia dan pelusuk lain dunia.
Antara pencapaian bermakna Sime Darby adalah penggabungannya dengan dua lagi syarikat utama tempatan iaitu Kumpulan Guthrie Bhd dan Golden Hope Plantations Bhd pada 2007, sekali gus membentuk syarikat perladangan minyak sawit terbesar dunia dari segi jumlah keluasan kawasan penanamannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson turut berkongsi keyakinan beliau bahawa syarikat itu mampu mengharungi tempoh mencabar masa kini serta berusaha ke arah masa depan lebih mampan untuk semua pihak berkaitan.
“Sime Darby adalah bukti paparan pertumbuhan luar biasa sebuah syarikat kecil pada era Tanah Melayu yang berjaya berkembang kepada penggiat multinasional di peringkat global,” katanya dalam kenyataan itu.
— BERNAMA