PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet akan membincangkan fungsi tugas dan tanggungjawab Setiausaha Politik dengan jelas dalam melaksanakan tugas mereka di kementerian.
Keputusan itu antara perkara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) di sini pada Khamis.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memaklumkan perkara itu berkata, terdapat keperluan berbuat demikian kerana ada Setiausaha Politik yang melakukan tugas lain.
“Setiausaha Politik (Supol) sepatutnya menjadi pengantara rakyat dengan ahli politik yang diwakili tetapi kita dapati Supol sekarang terlibat dengan agihan kontrak,” tegas Dr Mahathir dalam sidang media.
Sebelum ini Setiausaha Politik kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ditahan bagi membantu siasatan kes video intim.
“Saya terkejut dan tidak tahu mengapa,” kata Anwar mengulas penahanan Farhash..
Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak bersama dua rakannya ditahan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah rumah teres di Pasir Gudang, Johor.
Polis pada Selasa menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes video intim membabitkan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang ahli politik.