KUALA LUMPUR: Gaya Koleksi Raya 2019 (GKR2019) tertumpu kepada pereka fesyen muda untuk menonjolkan gaya rekaan unik mereka.
Menurut pengasasnya, Andrew Tan, ramai pereka fesyen muda merebut peluang untuk menonjolkan gaya rekaan di pentas GKR kerana ia merupakan platform terbaik bagi pereka baharu dalam industri fesyen tempatan.
“Memberi pendedahan kepada pereka fesyen baharu dan muda adalah keutamaan kami dan kami berharap semua pereka dapat memperkenalkan keunikan rekaan mereka pada tahun ini,” kata Andrew.
“Mereka perlu juga fokus terhadap jualan atas talian dan sekali gus menerobos pasaran e-dagang masa ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran GKR2019 di sini, baru-baru ini.
GKR edisi kelima telah berlangsung di Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur pada 11 hingga 14 April 2019 yang bertemakan kepelbagaian menampilkan 35 rekaan koleksi raya jenama tanah air.
Antara jenama yang terlibat dengan GKR2019 ialah Maqilla, Amzu Atelier, Ezuwan Ismail, Ghaania, Jubahsouq, dan Tudung People.
Terdapat juga tiga jenama rekaan selebriti terkemuka yang terlibat tahun ini iaitu Fazbulous Raya oleh Fazura, Fattastic Raya oleh Fattah Amin, dan Neonate oleh Karl Shafek Ibrahim.
Sambutan GKR kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu dengan penampilan baju kurung dan baju Melayu berbagai warna.