BINTANG bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo tidak dapat menahan sebak selepas menonton satu rakaman temubual terakhir bersama ayahnya.
Momen emosi itu berlaku semasa wawancara bersama Piers Morgan, yang akan disiarkan di televisyen United Kingdom, Selasa ini.
Dalam rakaman pendek itu, Jose Dinis Aveiro dilihat bercakap tentang Ronaldo sambil berdiri di depan pintu rumahnya.
“Saya tidak percaya. Saya tidak pernah melihat video itu.
“Saya perlu memiliki rakaman ini untuk ditunjukkan kepada keluarga saya.
“Tetapi saya tidak kenal ayah saya 100 peratus. Dia seorang yang pemabuk. Saya tidak pernah berbual dengannya sebagaimana orang lain berbual dengan ayah mereka,” cerita bintang Juventus itu.
Ronaldo berusia 20 tahun ketika bapanya meninggal dunia akibat kegagalan hati pada usia 52 tahun.
“Keluarga saya melihat semua kejayaan yang saya capai, tetapi tidak ayah saya. Dia masih muda sewaktu meninggal dunia,” tambah bapa kepada empat anak itu.
Ronaldo juga mendedahkan perancangannya untuk mengahwini teman wanitanya, Georgina Rodriguez, tetapi bukan dalam masa terdekat.
“Ia impian ibu saya juga. Kami akan berkahwin suatu hari nanti, itu pasti,” katanya.