GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pertubuhan Islam, menteri, ahli politik dan pemimpin masyarakat agar berhenti mencari publisiti ketika menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan semasa Ramadan.
Presiden CAP S.M Mohamed Idris berkata kini, ia telah menjadi amalan untuk menyebarkan secara meluas bantuan yang diberikan kepada golongan miskin dan yang memerlukan, sempena sambutan perayaan Aidilfitri.
Walaupun inisiatif yang dibuat oleh penganjur untuk membantu golongan yang memerlukan amat dihargai, Idris berkata ia harus dilaksanakan tanpa publisiti kerana ia merendahkan martabat penerima bantuan selepas status kemiskinan mereka disiarkan kepada orang ramai secara umum.
“Golongan miskin tidak boleh dianggap sebagai objek amal untuk mendapatkan publisiti bagi meningkatkan imej pertubuhan dan pemimpin mereka. Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk mengamalkan bersedekah dan adalah lebih baik untuk menyembunyikannya dan menghulurkan bantuan itu secara rahsia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau juga percaya adalah lebih bermanfaat bagi pemberi bantuan untuk menyampaikan sumbangan itu dengan melawat golongan berkenaan di rumah mereka dan penyumbang akan mendapat pemahaman yang lebih baik mengenai keadaan penghidupan yang dihadapi golongan ini dan membolehkan mereka mencari jalan untuk mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.
— BERNAMA