KUANTAN: Anak tiri kepada Hashimah Ismail, 66, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 101 Jalan Lama Kuantan-Kuala Lumpur pada petang Ahad, tidak menyangka sikap ibunya yang terlalu gembira semasa majlis kenduri perkahwinan di Hulu Langat pada Sabtu, merupakan petanda bahawa dia akan meninggalkan mereka sekeluarga selamanya.
Menurut Zaili Mohd Noor, 51, ibu tirinya dilihat ‘gembira luar biasa’ dan ketawa sehingga mengalir air mata menyebabkan dia terdetik di dalam hati ada sesuatu yang kurang elok akan berlaku selepas itu.
“Ayah saya, adik perempuan dan suaminya nampak biasa sahaja, semasa majlis perkahwinan anak kedua saya itu, cuma mak sahaja nampak gembira sangat, semasa itu saya teringat orang tua-tua kata, kalau banyak sangat ketawa, nanti menangis,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Jengka di sini malam tadi.
Dalam kemalangan jam 2.30 petang itu, lima anggota keluarga berkenaan maut termasuk Hashimah; suaminya, Mohd Noor Che Mat, 78; anak mereka Nor Suraya Mohd Noor, 30; suaminya, Musa Abdullah, 31; serta anak mereka, Muhamad Zulkarnain Musa, 3.
Seorang lagi anak Nor Suraya, Nur Quraitun Ain Musa, lima tahun, cedera parah.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas kenderaan mereka naiki hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah Proton Iswara dan kemudiannya bertembung dengan sebuah Toyota Hilux, menyebabkan kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Zaili yang masih kelihatan terkejut dengan kejadian itu berkata kesemua mereka menghadiri majlis perkahwinan anak keduanya, Mohd Iqbal Zaili, 27, di Hulu Langat pada Sabtu, sebelum berkonvoi dari Seri Kembangan menaiki dua buah kenderaan untuk pulang ke rumah masing-masing tengah hari Ahad.
“Sampai di bandar Lanchang kami berhenti makan tengah hari dan selepas itu berpisah. Dalam pukul 3 petang, saya mendapat panggilan daripada salah seorang adik, mengatakan kereta dinaiki ayah terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Sementara itu, kakak Nor Suraya, Saliah Mohd Noor, 34, berkata adiknya enggan memberikan gambar kenduri yang dihadiri pada Sabtu ketika diminta berbuat demikian melalui WhatsApp.
“Saya tidak dapat hadir kenduri anak abang sulung sebab ada urusan lain, dan minta adik (Nor Suraya) menghantar gambar semasa kenduri, tetapi dia bagi tahu dia tak nak berbuat demikian sebab takut saya sedih,” katanya yang kelihatan sebak.
Menurutnya, adik perempuannya itu yang merupakan seorang guru Kafa sedang mengandung tiga bulan dan jenazah anggota keluarganya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jengka 6, selepas proses bedah siasat dilakukan malam tadi.
Sementara jenazah ibu tiri mereka akan dikebumikan di Kampung Batu, 9, Sungai Kepong, Lanchang.
— BERNAMA