KUALA LUMPUR: Isu ekonomi akan menjadi antara cabaran terbesar dihadapi parti diterajui Imran Khan pasca sambutan kemenangan pilihan raya umum Pakistan.
Penganalisis Politik Asia Selatan, Dr. Azharuddin Mohamed Dali menjelaskan, ia antara perkara yang harus ditempuh Imran selain cabaran hubungan luar dan terrorisme dalam mendepani politik baharu di negara tersebut.
Bagaimanapun kata Azharuddin, Imran berdepan cabaran sukar memperolehi majoriti 137 kerusi yang dikehendaki selain tidak menolak kemungkinan terpaksa bergabung dengan parti lain.
“Pasti daripada keseluruhan perkara yang timbul itu, cabaran ekonomi adalah yang terbesar. Kita dapati bahawa kadar inflasi agak tinggi di Pakistan, nilai matawang juga dikatakan agak merosot dan keadaan ini pastinya menyebabkan Imran akan mencari alternatif bagi membolehkan ekonomi Pakistan kembali ke kedudukan sepatutnya.
“Itu sebabnya dalam ucapan kemenangan, beliau kata bahawa perlu melihat pelaburan dari negara barat terutama Amerika Syarikat (AS) perlu dibawa masuk ke Pakistan. Ini merupakan antara perkara yang cuba diketengahkan oleh Imran. Saya fikir lebih penting lagi adalah bagaimana beliau terpaksa berhadapan dengan India kerana isu Kashmir masih lagi isu yang tidak selesai.
“Malah dalam pilihan raya yang baru berlaku, kita dapati terdapat halangan yang dikatakan diterima wartawan India untuk memberikan laporan terhadap pilihanya itu. Ini bermakna bahawa secara keseluruhannya hubungan antara India dengan Pakistan itu masih lagi menjadi antara masalah penting,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
BACA: Imran Khan umum menang pilihan raya Pakistan
Pada Khamis, bekas bintang kriket Imran mengumumkan kemenangan partinya pada Khamis dalam pilihan raya umum Pakistan.
Dalam pada itu jelas Azharuddin, Imran perlu melakukan sesuatu agar hubungan di antara India dan Pakistan dapat berjalan dengan dengan lebih baik.
“Saya fikir dari sudut hubungan luar, hubungan dengan China juga merupakan antara paling penting, dalam konteks negara jiran dengan Pakistan selain dari pastinya negara Islam lain, termasuk negara kita, Malaysia.
“Jadi saya fikir oleh kerana kita ada negara baru, di Pakistan juga kerajaan baru, maka ia satu hala tuju baik kepada kedua-dua negara yang berkaitan,” ujarnya.
Kiraan undi pilihan raya Pakistan sehingga kini dilihat menyebelahi Imran meskipun masih belum selesai secara keseluruhan.
Pada masa yang sama, parti lawan mendakwa berlaku penipuan dalam proses pengiraan.