KUALA LUMPUR: UMNO akan berunding dengan rakan parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti bagi menunjukkan keprihatinan terhadap Palestin susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) mengenai Baitulmaqdis.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perhimpunan ini diadakan juga bagi menunjukkan penentangan terhadap keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
“Kami yakin umat Islam akan bersama-sama rakyat Palestin bagi menghadapi cabaran ini,” katanya pada sidang media selepas ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Pandangan beliau turut dikongsi rakan sejawatnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyatakan Malaysia ‘langsung tidak bersetuju’ dengan tindakan AS
“Kenyataan Presiden Trump (Donald) bukan sahaja kita tak persetujui tetapi kita tentang….noktah!,” katanya.
Selain itu, apabila ditanya sekiranya UMNO akan menyertai himpunan aman kelolaan Pas di Kedutaan AS esok, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, partinya akan menyokong usaha tersebut.
“Kami tidak dapat hadir himpunan tersebut kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tetapi beberapa ahli UMNO yang tidak terlibat secara langsung dengan perhimpunan ini akan hadir,” katanya lagi.